Dua perwakilan Pergerakan Puteri UMNO dilihat melintasi dinding yang dihiasi logo parti UMNO ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 DISEMBER 2017
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Wanita Barisan Pulau Pinang membidas tindakan dan tingkah laku pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam yang memperlekehkan pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam susulan mendedahkan gurauan seks dalam pembelajaran dan diugut dengan ancaman dirogol.

Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, tindakan pengetua sekolah berkenaan memuat naik komen di Facebook menggunakan nama akaun  “Aimanaizad Sarimahmohamednor” melambangkan tidak berintelektual.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang menegaskan, pengetua itu sepatutnya melindungi pelajar yang membuat  pendedahan tersebut bukan bertindak mahu menggantung persekolahannya.

“Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bertindak tegas dengan mengambil tindakan displin sewajarnya terhadap kelakuan yang tidak profesional daripada pengetua berkenaan selain guru yang yang terlibat dalam gurauan seksual itu.

“Kami juga menggesa KPM menyelesaikan siasatan dengan segera dalam isu gurauan seksual dan ancaman dirogol ini serta memastikan pelajar terbabit mendapat pembelaan sewajarnya termasuk tidak digantung atau dibuang dari sekolah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Norliza, KPM juga perlu mengeluarkan satu pemakluman rasmi dalam siasatan itu sebagai satu mesej jelas bahawa sebarang tindakan memperlekehkan martabat wanita adalah tidak wajar dalam sistem pendidikan negara.

“Suka ingin saya jelaskan di sini, Wanita BN negeri Pulau Pinang akan sentiasa bersama Ain Husniza dalam mendepani isu ini malah kami bersedia menawarkan khidmat peguam sekiranya pelajar itu perlu mempertahankan haknya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette