Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Singapura disenarai sebagai salah sebuah negara yang melaporkan penularan Variant of Concern (VOC) SARSCoV-2 dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura yang mana laporan kes tersebut melibatkan varian Afrika Selatan B.1.351, varian United Kingdom B.1.1.7, varian Brazil B.1.1.28 (P1), termasuk Variant of Interest (VOI) dari India iaitu B.1.617.1.

Menurutnya, keputusan itu dibuat menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 7 Mei lepas.

“Sejajar dengan perkembangan ini, Sidang Khas MKN telah memutuskan semua pengembara yang masuk ke Malaysia dari Singapura dan pengembara yang menggunakan kemudahan Skim Periodic Communicating Arrangement (PCA) perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang telah diwartakan oleh kerajaan bermula pada 13 Mei 2021.

“Para pengembara dari Singapura juga tertakluk kepada SOP
kemasukan pengembara dari negara-negara dengan penularan
VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, Noor Hisham memberitahu, sidang khas MKN juga telah bersetuju Skim Reciprocal Green Lane (RGL) Malaysia-Singapura digantung sementara waktu di peringkat Malaysia bermula 13 Mei ini.

Jelasnya, pengembara dari Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan perlu menggunakan saluran One Stop Centre (OSC) yang disediakan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“KKM akan sentiasa mengemaskini senarai negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti dan akan
memaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette