Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021 adalah langkah tepat pada masanya.

Ini kerana pelaksanaan PKP terpilih mengikut daerah agak mengelirukan dan membuatkan rakyat hilang arah, menyebabkan ramai tidak patuh SOP yang ditetapkan.

Sedangkan pertambahan kes yang mendadak boleh ditafsirkan sebagai gelombang ketiga Covid-19 yang menyebabkan barisan hadapan semakin letih dan penat.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pihak telah berulang kali menyuarakan perlunya PKP 3.0 apabila peningkatan mendadak kes Covid-19.

”Oleh itu, PKP 3.0 perlu dilaksanakan dengan tegas seperti PKP 1.0 agar kita berjaya menurunkan kes. Jangan ulangi SOP PKP 2.0 yang separa masak.

”Ini penting agar rakyat tidak perlu melalui PKP 4.0, PKP 5.0 atau seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, pimpinan pembangkang pula tidak perlu bercerita politik dengan desakan-desakan yang tidak masuk akal kepada Kerajaan Perikatan Nasional, dengan niat menyuburkan kebencian kepada kerajaan.

Tidak perlu bercerita tentang pembukaan sidang Parlimen kerana ketika mereka menjadi kerajaan Pakatan Harapan, mereka ponteng beramai-ramai sidang Parlimen kerana “suhu Dewan Rakyat terlalu sejuk” dan “keletihan untuk hadir”.

Susulan pelaksanaan PK 3.0, DPIM mencadangkan kepada Kerajaan Perikatan Nasional untuk memberikan moratorium automatik selama tiga hingga enam bulan agar rakyat boleh bernafas dek kerana banyak perniagaan merudum sejak awal bulan puasa hinggalah jualan persiapan hari raya yang terpaksa dibatalkan, mengakibatkan kerugian peniaga-peniaga kecil secara drastik.

Menurutnya, Menteri Kewangan juga perlu bertindak cepat dengan menyalurkan bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam belanjawan lalu bagi membantu pelajar.

Menteri Pendidikan pula perlu mengumumkan Pelan Pembelajaran dan Pengajaran dari Rumah (PdPR) yang jelas dan teratur bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan anak-anak kita agar tiada yang keciciran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast