Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bahawa Jemaah Menteri membuat keputusan untuk menjaga kontraktor semata-mata berkaitan keputusan kerajaan dalam isu perolehan Littoral Combat Ship (Projek LCS) tidak benar sama sekali.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kenyataan Ahli Parlimen Kota Raja dianggap seperti menangguk di air keruh.

Dalam keputusan itu, menurutnya, kesemua kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kerajaan telah diambil kira dan menjadi keutamaan di sebalik keputusan yang dbuat.

“Namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita juga harus mengambil kira situasi semasa, keupayaan kontraktor dan kesan kepada ekonomi sama ada mahu membatal atau meneruskan Projek LCS ini.

“Dalam hal ini, setelah membuat kajian mendalam ke atas semua aspek projek ini, Jemaah Menteri mendapati ada lebih banyak
kebaikan dan keuntungan yang akan diperolehi oleh kerajaan dan rakyat dengan meneruskan projek ini.

“Kerajaan sudah pun membelanjakan sebanyak RM6 billion dan jika ia dihentikan, wang ini mungkin tidak dapat dikembalikan sepenuhnya, malah kerajaan perlu mengeluarkan wang yang lebih banyak untuk melantik kontraktor baharu.

“Kesemua ini akan memakan masa yang panjang dan projek ini akan menjadi lebih lewat untuk disiapkan, dan ini boleh menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan laut negara,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, keputusan itu adalah keputusan yang bersifat menang-menang untuk kerajaan, TLDM, Lembaga Tabung ngkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Boustead dan vendor-vendor ekosistem pertahanan tempatan.

Keputusan kerajaan untuk meneruskan projek LCS bukan sahaja akan menyelamatkan 8,000 orang pekerja malah ratusan vendor dan kontraktor tempatan.

Pihak Boustead telah mengemukakan sebuah pelan perancangan yang teliti pada awal tahun ini untuk meneruskan Projek LCS yang mencerminkan kesungguhan dan komitmen mereka untuk menyiapkannya.

Sehubungan dengan itu, Jemaah Menteri telah bersetuju secara dasarnya untuk pihak Boustead meneruskan projek berkenaan, katanya.

Langkah seterusnya adalah pihak kerajaan akan memaklumkan secara rasmi kepada pihak Boustead mengenai keputusan ini beserta dengan pelan perlaksanaan projek tersebut, katanya.

Reka bentuk terperinci atau detailed design LCS sudah siap 96 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2022.

“Naval Group masih lagi bekerjasama dengan Boustead untuk menyiapkan projek ini dn hakikat sebenar, apa yang dihadapi oleh TLDM, LTAT dan Boustead adalah dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya Mohamad Sabu dan Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Selepas PH mengambil alih pucuk pimpinan negara, selama 22 bulan projek ini hilang hala tuju dan segala kerja terhenti kerana
hanya dipenuhi dengan siasatan.

“Akibat kegagalan kerajaan terdahulu membuat keputusan yang tidak cekap pada tahun 2018, ia telah mencetuskan kemelut baharu iaitu peningkatan kerugian dalam korporat Boustead ekoran penangguhan kepada vendor-vendor Bumiputera dan juga tenaga kerja,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, kerugian RM50 juta setiap bulan akibat penangguhan ini juga memberi kesan buruk kepada tabung LTAT dan 130, 000 pencarumnya.

Kelemahan dan kegagalan Bekas Menteri Pertahanan untuk melihat impak jangka panjang inilah yang telah mengakibatkan apa yag terjadi sekarang ini, kata Ismail Sabri.

Pada Januari 2019, MINDEF telah bersetuju dengan permohonan ketiga tigar variation orde tersebut tetapi bergantung kepadakeputusan akhir oleh Kementerian Kewangan namun tiada sebarang kata putus daripada Kementerian Kewangan.

Kegagalan untuk mendapat kata putus mengenai ketiga-tiga variation order ini telah menjejas teruk perkembangan kerja-kerja bahagian pembinaan kapal yang lain.

Pada November 2019, OEM telah menghentikan kerja-kerja pembinaan kapal kerana BNS menghadapai masalah aliran
tunai.

“Kenyataan Mohamad Sabu dalam hal ini dilihat hanyalah satu provokasi politik dan menyerlahkan ketidakmatangan beliau dalam memberi hujah cara menangani isu LCS.

“Punca permasalahan LCS adalah daripada tindakan kerajaan PH yang gagal memberi sebarang keputusan pasa masa itu. Ini mencetuskan masalah baru bagi syarikat korporat serta projek LCS yang sedia ada,” kata Ismail Sabri.

Berkaitan status dana RM1 bilion yang dikatakan hilang pula, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah memaklumkan kepada kerajaan bahawa perkara ini masih dalam siasatan dan
Kementerian tidak campur tangan dalam siasatan tersebut.

“Perkara ini boleh diajukan kepada pihak SPRM untuk mendapatkan perkembangan terkini,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mat Sabu bkn reti apa satu.. Buat lawak atas pentas boleh la.. Tapi kerana PAN ketandusan pemimpin, Madey angkat jgk Mat Sabu jadi menteri pertahanan. Klau nk diikutkan kelayakan dia tu mmg 100% tk layak pun.
    Jadi menteri ada ke patut pi dok buat demo memasak dlm kapal TLDM. Semua tu kerja org bengong mcm mat sabu ja.

Comments are closed.