Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini menasihatkan orang ramai supaya tidak menunggu di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan harapan mendapatkan vaksin yang tidak digunakan akibat ketidakhadiran penerima vaksin berjadual.

CITF menerusi satu kenyataan terkini berkata, ia termasuklah untuk pengambilan vaksin di PPV AstraZeneca (AZ).

“Ini kerana pemberian vaksin secara walk-in adalah tidak dibenarkan di mana-mana PPV,” kata kenyataan yang sama.

Satu mekanisme telah dibangunkan oleh CITF untuk menghindari pembaziran vaksin dengan memastikan proses pemberian vaksin kepada orang ramai di penghujung hari tidak menganggu perancangan logistik di PPV.

“Ini juga bertujuan untuk mengelakkan kesesakan, terutamanya di waktu kes Covid-19 harian yang semakin meningkat,” kata badan tersebut.

Malah tambah CITF lagi, secara amnya, semua PPV  mempunyai senarai individu daripada pangkalan data yang akan mereka hubungi melalui pesanan ringkas atau telefon.

Menurut CITF, individu yang dihubungi akan ditanya sama ada mereka berminat untuk mendapatkan vaksin dan sama ada mereka dapat akan hadir ke PPV.

“Untuk PPV AZ pula, satu senarai menunggu iaitu senarai nama mereka yang telah menempah slot menunggu sewaktu penempahan untuk suntikan vaksin AstraZeneca baru-baru ini telah digunakan sebagai asas.

“Mereka yang dipilih di bawah senarai ini akan dimaklumkan melalui notifikasi di MySejahtera, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon.

“Oleh itu, CITF ingin menggesa orang ramai agar tidak hadir di PPV tanpa sebarang urusan dan temu janji serta tidak perlu untuk berlegar atau menunggu di PPV bagi mendapatkan vaksin tanpa janji temu,” tegasnya.-MalaysiaGazette