Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad hadir untuk menyatakan sokongan kepada Undi18 selepas beberapa individu dipanggil untuk memberi keterangan berhubung Protes Undi18 di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 02 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia untuk menghadapi apa-apa tindakan undang-undang kerana dipercayai melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Dr. Mahathir berkata, beliau akur kerana melakukan kesalahan dan memohon maaf kerana insiden berkenaan.

“Saya dimaklumkan pada acara tersebut, saya telah melanggar SOP dengan tidak mengambil suhu badan apabila masuk ke surau tersebut.

“Ini merupakan satu kesalahan. Perkara ini tidak harus berlaku. Saya minta maaf kerana tidak patuh SOP.

“Saya akan terima tindakan mengikut undang-undang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam viral satu video berdurasi 2 minit 30 saat itu menunjukkan pengerusi penaja Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu melanggar kesalahan SOP ketika menghadiri satu majlis di Langkawi.

Majlis yang diadakan di Surau Tsunami Batu Arang, Kuala Teriang dan Surau Kampung Lubuk Setul itu adalah bertujuan bagi menyampaikan sumbangan kepada penduduk sempena Hari Raya Aidilfitri.

Dalam video berkenaan, Perdana Menteri ketujuh itu didapati gagal untuk mengimbas suhu dan MySejahtera ketika memasuki kawasan surau tersebut walaupun di situ disediakan alat pengimbas suhu dan juga kod imbasan MySejahtera.

“Kita tidak harus ambil ringan. Sekali lagi saya minta maaf kerana melanggar peraturan ini,” katanya lagi.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikehendaki membayar kompaun berjumlah RM3,000 yang dikenakan ke atasnya ekoran melanggar SOP.

Najib dikenakan kompaun RM1,500 bagi setiap kesalahan kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Penyakit Berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021. – MalaysiaGazette