Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Seramai 384 individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam tempoh 16 bulan dalam Ops Mabuk di sekitar Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Zafri Zokapli berkata, trend pemandu mabuk di negeri itu berlaku selepas tengah malam, namun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) trend itu menunjukkan pengurangan daripada segi jumlah tangkapan.

Zafri berkata, dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, seramai 107 orang ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol manakala sepanjang tahun lalu seramai 277 orang diberkas atas kesalahan sama.

Zafri.

“Daripada jumlah yang ditahan ada antaranya dituduh di mahkamah dan ada sehingga kini kes masih dalam siasatan polis.

“Unit penguatkuasaan JSPT Pulau Pinang telah ditugaskan untuk menangani isu pemandu mabuk dan kami bertugas 24 jam sehari bagi menangani masalah ini,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam satu temu bual khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang baru-baru ini.

Tambah Zafri, pihaknya mencadangkan pemilik pusat hiburan di negeri itu untuk menasihatkan pengunjungnya menggunakan perkhidmatan e-hailing dalam usaha mengurangkan kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk.

“Pemilik premis boleh mengambil inisiatif menasihatkan pengunjung untuk tidak memandu kerana perkhidmatan e-hailing mampu mengambil serta menghantar penumpang hingga ke depan rumah,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Zafri memberitahu, pihaknya akan mengadakan lebih banyak operasi bagi mengelak insiden kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk terutama di negeri itu.

Saya ingin menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang dan berharap operasi dijalankan ini dapat mengurangkan jumlah mereka yang membawa kenderaan di bawah pengaruh alkohol bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya. – MalaysiaGazette