Hillary Step kemuncak batuan yang perlu dilalui sebelum tiba di kemuncak Everest. foto Agensi

KATHMANDU, Nepal – Pendaki warga Switzerland dan Amerika Syarikat (AS) maut di Gunung Everest, kematian pertama pada musim ini, menurut penganjur ekspidisi ke gunung tertinggi dunia itu.

Pendaki warga Switzerland, Abdul Waraich, 41, yang melakukan pendakian ke puncak gunung itu sebelum menghadapi kesukaran, kata penganjur ekspidisi, Chhang Dawa.

“Abdul berjaya sampai ke puncak tetapi mula mengalami isu semasa turun.

“Kami menghantar dua orang Sherpa dengan bekalan oksigen dan makanan. Malangnya Sherpa itu tidak dapat menyelamatkannya,” kataya seperti di petik agensi berita, AP.

Pendaki warga AS, Puwei Liu, 55, juga maut di kem tertinggi gunung itu, South Col.

Beliau telah sampai di Hillary Step yang terletak antara South Col dan puncak Gunung Everest namun berpatah balik kerana salji yang menghadkan jarak penglihatan dan kepenatan.

Dengan bantuan anggota pasukan sokongan dan bekalan oksigen tambahan, beliau dibawa kem South Col tetapi meninggal dunia pada petang semalam, kata penganjur itu.

Tiada maklumat terperinci mengenai pendaki yang meninggal dunia itu dan bila mayat akan dibawa turun.

Keadaan cuaca buruk menyebabkan pendaki terpaksa turun ke ketinggian yang lebih rendah ketika ini.

Membawa mayat turun dengan laluan berais dan cerun yang licin pada ketinggian tinggi merupakan satu tugas yang sukar dan mengambil masa selain menelan kos yang tinggi.

Nepal dan China membatalkan musim mendaki puncak yang berada pada 8,849 meter daripada paras laut pada tahun lalu.

China hanya membenarkan pendaki dari negara itu mendaki bahagian utara gunung tersebut pada tahun ini.

Nepal membenarkan warga asing mekakukan pendakian pada tahun ini dan kerajaan negara itu mengeluarkan 408 permit kepada pendaki yang cuba menawan puncak tertinggi dunia pada musim bunga.

Kebiasaannya cuaca baik pada Mei untuk melakukan pendakian Gunung Everest. – MalaysiaGazette