Mazlan Lazim turun memeriksa SJR di USJ Subang ditemani Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Abd Khalid Othman petang tadi.

SUBANG JAYA – Peralatan logistik untuk anggota  bertugas di sekatan jalan raya (SJR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula semalam mencukupi walaupum bilangan SJR melebihi PKP 1.0.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya merima semua aset-aset yang diperlukan untuk kegunaan anggota di lapangan SJR menerusi hasil perolehan.

“Peralatan klinikal yang sedia ada juga seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman serta sarung tangan juga mencukupi.

“Akan tetapi pada masa sama, kami telah mengemukakan surat kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mendapatkan bekalan peralatan klinikal berkenaan kerana barangan itu diperlukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas meninjau operasi sekatan jalan raya di Plaza Tol USJ hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman.

Tambah Mazlan, keselamatan dan kebajikan petugas di lapangan SJR sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.

Sementara itu, Mazlan memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dalam proses memperoleh 2,040 buah kamera badan bernilai RM30 juta pada tahun ini.

Katanya, pemerolehan aset baharu itu merupakan inisiatif Bukit Aman untuk meningkatkan integriti pasukan keselamatan itu dalam penugasan di lapangan.

“Kita ini kami dalam proses mempercepatkan proses perolehan itu menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

“Saya sudah suarakan dan membawa perkara ini (perolehan kamera badan) kepada KDN untuk mempercepatkan proses tender yang dijangkakan selepas sambutan Aidilftri menjelang Jun ini.

“Insya-Allah selepas dapat kelulusan KDN dan MAMPU untuk proses penilaian, kita akan terima kamera itu.

“Bila-bila masa sahaja mungkin Mei, Jun ini kamera badan itu diperoleh tapi kalau tahun ini, InsyaAllah saya rasa tiada masalah untuk mendapatkannya segera demi manfaat anggota kita,” katanya. – MalaysiaGazette