PASIR GUDANG – Kesunyian Stadium Tertutup Perbandaran Pasir Gudang malam tadi digemakan dengan alunan takbir raya buat kali pertama oleh 843 pesakit Covid-19 berisiko rendah.

Program takbir raya bersama pesakit Covid-19 berisko rendah itu dianjurkan oleh Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Ihsan Johor bersama kakitangan kesihatan yang bertugas di PKRC termasuk ahli-ahli Ihsan Johor malam tadi.

Pengarah PKRC, DR Mohd Fathi Zaki Zakaria berkata, aktiviti itu merupakan sebahagian daripada program merai dan membangkitkan semangat malam sambutan Hari Raya dalam kalangan pesakit dan kakitangan kesihatan di situ.

“Meskipun terpaksa menyambut Hari Raya dalam norma baharu, namun ia tidak menghalang pesakit Covid-19 berisiko rendah menyambut Aidilfitri di Pusat Kuarantin dan Rawatan berisiko rendah (PKRC).

“Ini sebenarnya sebahagian inisiatif kami dan juga Ihsan Johor untuk meraikan mereka di malam raya.

“Ada jugak di kalangan kanak-kanak, so kita harap dengan usaha kecil kita ni. Dapatlah sedikit sebanyak mengurangkan rasa sedih mereka. Di mana mereka terpaksa meninggalkan keluarga dan jugak yang tersayang untuk jalani kuarentin di sini InsyaAllah.

“Setidak-tidaknya memberi rasa dan suasana raya di dalam stadium dan sekurang-kurangnya mereka dapat bertakbir bersama rakan-rakan lain di dalam ini,”katanya ketika ditemui di PKRC di sini.

Dalam pada itu, pesakit Covid-19 berisiko rendah di PKRC sempat menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya dan terima kasih kepada frontliner melalui sekeping kertas yang di tulis mereka.

Lafaz takbir raya malam tadi diketuai oleh Ustaz Muhammad Farihin Hazriq Abdul Saha Alam yang juga merupakan bekas pesakit PKRC.

Difahamkan seramai 106 pegawai dan kakitangan kesihatan yang ditugaskan di PKRC sejak ianya beroperasi pada 10 Februari lalu dengan 1200 katil.

Kata Dr Zaki, setakat ini PKRC masih menampung pesakit Covid-19 berisiko rendah.

PKRC Pasir Gudang merupakan pertama yang dibuka di Johor dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kerajaan negeri Johor. – MalaysiaGazette