Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Sebanyak 178 kes positif baharu dilaporkan di Pahang termasuk 135 kes  melibatkan daerah Kuantan dengan kemunculan kluster baharu tempat kerja dikenali Kluster Menara Jalan Putra.

Menteri Besar Pahang, Dato Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang memaklumkan situasi wabak pandemik Covid-19 di negeri belum juga reda, terutamanya di Kuantan.

“Empat hari sebelumnya pun menunjukkan bilangan kes positif baharu yang tinggi di daerah Kuantan berbanding seluruh Pahang iaitu 38 kes daripada 77 kes pada 10 Mei lalu.

“Manakala 40 kes daripada 85 kes pada 11 Mei dan 39 kes daripada 63 kes pada 12 Mei, dan semalam 22 kes daripada 56 kes pada 13 Mei.

“Maklumat-maklumat yang diperolehi ini sangat membimbangkan di sebalik saranan berkali-kali saya keluarkan dan ingatkan tentang keperluan kita mematuhi segala nasihat dan panduan yang kerajaan keluarkan,” katanya menerusi kenyataan media oleh Pejabat Menteri Besar Pahang.

Terdahulu, sudah terdapat empat lokaliti dalam daerah Kuantan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk Taman Tanah Putih Baharu yang masih berkuatkuasa, bermula 5 Mei sehingga 18 Mei.

Manakala tiga kawasan lain yang pernah dikenakan PKPD yang sama dan telahpun tamat tempoh penguatkuasaannya ialah di Indera Mahkota 2, Astaka Village, dan Galing.

ARTIKEL BERKAITAN : Dua kes postif Covid-19, Terminal Sentral Kuantan ditutup sementara

Justeru Wan Rosdy menyeru rakyat Pahang khususnya penduduk Kuantan memastikan pematuhan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jika situasi sekarang berlarutan, malah berlaku lagi peningkatan terutamanya di daerah Kuantan, MKN mungkin akan mencadangkan langkah-langkah yang lebih ketat lagi bagi membendunginya.” – MalaysiaGazette