Azman Ibrahim menerima kompaun selepas melanggar SOP Aidilfitri. foto FB Azman Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Azman Ibrahim dikenakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila menerima tetamu di rumahnya semalam.

Kunjungan itu dikongsikan oleh Zakaria Mahmud di media sosial dikecam oleh warga maya.

”Alhamdulillah, hadir memberi keterangan kepada ASP Syed Mohammad, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Besut dan menerima surat Tawaran Untuk Mengkompaun Kesalahan.

”YB juga dihukum sebagaimana rakyat biasa dengan kadar tawaran kompaun yang sama. InsyaAllah akan dijelaskan seberapa segera. Tiada siapa yang berada di atas dari undang-undang,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Desa.

Terdahulu, Azman mendakwa beliau tidak mengadakan rumah terbuka tetapi ada seorang, dua tetamu yang datang kerana pelbagai urusan.

”Di sinilah dilema seorang kuli rakyat macam ambe. Tak munasabah kita nak tutup pintu dan kunci kemas kemudian suruh rakyat balik kerana ziarah raya tak dibenarkan sedangkan hari-hari lain dalam tempoh PKP selalu saja rakyat mari rumah.

”Juga tak munasabah rakyat berdekatan mari ke rumah kita tak angkat walaupun segelas air. Musim raya ini adalah juga ketupat sebiji dua walau bukan juadah penuh meja,” katanya.

Dalam posting di Facebook empat jam lalu, Azman berkata, beliau telah menghubungi Ketua Polis Daerah Setiu bagi memberi keterangan dan mahu kes diproses mengikut tatacara SOP Perintah Kawalan Pergerakan tanpa pengecualian. – MalaysiaGazette