Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka Jawatankuasa Eksekutif OIC Peringkat Menteri-Menteri Luar bagi membincangkan mengenai tindakan keganasan Israel, pencerobohan dan pendudukan kuasa oleh Israel di Wilayah Palestin terutamanya di Al-Quds AlShareef.

Mesyuarat yang dijadual esok dibuat secara maya.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang akan mewakili negara dan kerajaan berkata, Malaysia yang sentiasa menyokong padu perjuangan Palestin dan rakyatnya akan menyertai mesyuarat ini.

”Saya akan mengambil kesempatan menerusi pertemuan esok bagi menyampaikan pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi Malaysia mengenai perkara ini kepada OIC.

”Saya juga akan menyuarakan gesaan Malaysia agar OIC mengambil tindakan lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan telah berkomunikasi secara berterusan dengan Menteri Luar Negeri II Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Erywan dan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi bagi mencapai kata sepakat antara negaranegara Islam Asia Tenggara mengenai Palestin.

Secara kolektif, katanya, mereka bertiga mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera penjajah Isreal terhadap rakyat Palestin dan mahu Israel hentikan serta merta tindakan pencerobohan di seluruh wilayah Palestin. – MalaysiaGazette