Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob interstate travel ban Hari Raya Aidilfitri balik kampung Covid-19
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga kawasan baharu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk tempoh 14 hari membabitkan Jerantut dan Kuantan di Pahang serta Kunak di Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Jerantut Pahang membabitkan Kampung Paya Teh, manakala di Kuantan pula melibatkan Seri Kemunting.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Paya Teh, Jerantut dan Seri Kemunting, Pahang, berkuat kuasa 17 Mei sehingga 30 Mei 2021.

Selain itu, satu lagi kawasan yang dikenakan PKPD membabitkan Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah bermula 17 hingga 30 Mei ini.

“Sehingga 15 Mei 2021, sebanyak 17 kes positif telah dikesan hasil daripada ujian saringan dilakukan oleh KKM ke atas 34 individu di lokaliti tersebut.

“KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu,” katanya.

Sementara itu, kerajaan turut melanjutkan 14 hari lagi pelaksanaan PKPD di dua rumah panjang di Bukit Dinding-Bergerik, Mukah, Sarawak membabitkan Rumah Panjang Jali Anak Empaling dan Lanyau Anak Tuli.

Sehingga kini, KKM telah melakukan 150 ujian saringan di kedua-dua rumah panjang tersebut dan 81 disahkan positif COVID-19.

“KKM juga mengesahkan penularan masih berlaku di lokaliti tersebut dan kes baharu juga masih direkodkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette