Tedros Adhanom Ghebreyesus. foto AP

GENEVA – Negara-negara yang lebih kaya sepatutnya menangguhkan rancangan untuk memberi vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak sebaliknya menyumbangkan bekalan vaksin ke negara berpendapatan rendah, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus juga mendesak negara-negara kaya untuk memberikan lebih banyak akses vaksin secara adil kepada global Covax.

Ini kerana pengagihan vaksin Covid di peringkat antarabangsa tidak sekata.

Sejak vaksin pertama disetujui pada bulan Disember, negara-negara kaya telah membeli sebahagian besar bekalannya.

Ramai yang berlumba-lumba untuk melaksanakan vaksinasi seberapa banyak penduduk mereka.

Bercakap di sebuah persidangan maya di Geneva, Dr Tedros berkata, beliau memahami mengapa beberapa negara ingin melakukan vaksinasi ke atas kanak-kanak dan remaja, tetapi “sekarang saya menggesa mereka mempertimbangkan semula”.

“Di negara-negara berpendapatan rendah dan rendah, persediaan vaksin Covid-19 belum cukup untuk mengimunisasi pekerja kesihatan dan hospital yang dibanjiri pesakit yang memerlukan perawatan penyelamat dengan segera,” katanya.

Minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyusun rancangan untuk memulakan suntikan vaksin koronavirus untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun secepat mungkin.

Beliau berharap 70% orang dewasa AS akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 pada 4 Julai, ketika keluarga Amerika dijangka berkumpul untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

Kanada juga membenarkan penggunaan vaksin Pfizer untuk kanak-kanak berusia antara 12 hingga 15 tahun. Wilayah Alberta, yang mempunyai kadar virus tertinggi di negara ini telah mula memberikan vaksin ini kepada penduduknya yang berusia lebih 12 tahun. .

Di Switzerland, beberapa tempat mula menawarkan vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak berusia 16 tahun minggu lalu.

Setakat ini, AS dan China telah memberikan jumlah dos vaksin tertinggi secara keseluruhan, dengan India di tempat ketiga.

Tetapi ketika hampir seluruh Eropah dan Amerika telah memulakan kempen vaksinasi, beberapa negara di Afrika masih belum melakukannya lagi.

Skim Covax dibangunkan dengan tujuan untuk pertama kali memvaksinasi 20% penduduk di 92 negara miskin yang berdaftar, bermula dengan pekerja kesihatan.

Skim ini dipimpin bersama oleh WHO, Global Vaccine Alliance (Gavi) dan Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (Cepi), dengan dana kanak-kanak PBB, Unicef, sebagai rakan pelaksanaan utama. – MalaysiaGazette