Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di kawasan peranginan di Bentong, Pahang dan rumah panjang di Mukah, Sarawak ditamatkan lebih awal, masing-masing bermula hari ini dan esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Bentong Pahang yang melibatkan Apartment Meranti, Midhill Apartment, Ramin dan Vista Residence yang dijadualkan berakhir 23 Mei ini, ditamatkan hari ini.

“Dalam tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 297 ujian saringan namun tiga daripadanya disahkan positif Covid-19.

“KKM juga mengesahkan terdapat penurunan kes dan sampel kedua untuk semua kontak rapat telah diambil dan diasingkan di stesen kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, kerajaan juga tidak akan melanjutkan tempoh pelaksanaan PKPD di lapan rumah panjang di Mukah, Sarawak yang sepatutnya berakhir pada 16 Mei ini.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di tiga rumah panjang iaitu, Rumah Panjang Luni, Manna, Nelson Chuat, Mukah, Sarawak dan sehingga kini, KKM telah melakukan 151 ujian saringan dan sembilan penduduk disahkan positif Covid-19.

“KKM juga mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala kes terakhir telah direkodkan pada 14 Mei 2021 iaitu tiga (3) kes,” katanya.

Katanya lagi, turut ditamatkan pelaksanaan PKPD melibatkan lima lagi rumah panjang di Jalan Bukut Balingian, Mukah, Sarawak.

“Ia membabitkan Rumah Panjang Belayong, Rumah Panjang Muda, Rumah Panjang Tepi, Rumah Panjang Minggu dan Rumah Panjang Undom yang dijadualkan tamat pada 20 Mei ini.

“Sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 315 ujian saringan dan 156 daripadanya disahkan positif COVID-19.

“KKM juga mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala kes terakhir telah direkodkan pada 12 Mei 2021 iaitu 13 kes dan PKPD ini ditamatkan pada 16 Mei 2021, lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette