Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superitanden Annas Sulaiman mengatakan sesuatu dengan pekerja ketika melakukan rondaan bagi memastikan para pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa membeli-belah pada musim cuti perayaan Aidilfitri di Sunway Vello City, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 583 kompaun untuk kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan sepanjang bulan Ramadan di daerah Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, daripada jumlah itu lebih 400 kesalahan tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon

“Daripada 1 Ramadan hingga 30 Ramadan, pada 13 April hingga 12 Mei lepas kita ada mengeluarkan 583 saman (kompaun). Antara yang paling tinggi ialah kesalahan tidak daftar masuk MySejahtera. Itu sahaja lebih 400.

“Selain itu kesalahan lain termasuklah tidak pakai pelitup muka, itu juga dikenakan kompaun. Kita juga ada keluarkan kompaun untuk aktiviti kelab malam ketika serbuan mengejut masa bulan puasa.

“Untuk makluman, dari 9 Mei lepas pula, kita dirikan dua Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Cheras dan Taman Shamelin dan sebanyak 13 kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan merentas negeri tanpa dokumen dan kebenaran dari pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai melakukan pemantauan di beberapa lokasi di Alam Damai dan juga kawasan tumpuan pusat beli belah di sekitar Cheras hari ini.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada kompaun yang dikeluarkan untuk kesalahan langgar SOP Aidilfitri seperti kunjung-mengunjung di daerah tersebut.

“Kita sudah mula pantau dan juga menjalankan operasi mengejut serta rondaan sejak Khamis lepas, belum ada lagi kompaun.

“Tetapi ini tidak bermakna kita akan hentikan sebarang aktiviti rondaan dan pantauan sebaliknya kita akan terus giatkan usaha,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast