Jimmy Puah

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu Jimmy Puah Wee Tse sedia menerima hukuman kompaun sekiranya didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ziarah hari raya Aidilfitri, di Taman Desa Jaya, Ulu Tiram, dekat sini, Khamis lalu.

Katanya beliau pergi ke sebuah rumah di situ untuk menghantar barangan sumbangan kepada wakil wanita PKR untuk diedarkan kepada golongan ibu tunggal dan asnaf dan bukan ziarah Aidilfitri seperti didakwa.

“Bagaimanapun, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan mereka dan sekiranya hasil siasatan mendapati saya telah langgar SOP, saya rela menerima hukuman dan membayar kompaun sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, beliau akan hadir ke IPD Seri Alam esok bagi memberi keterangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya sedang mengesan pemilik akaun Facebook yang dipercayai memuat naik gambar ADUN itu melanggar SOP berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri.

Menurutnya, gambar tersebut didakwa menunjukkan Puah yang juga Timbalan Pengerusi PKR Johor sedang makan di rumah pemilik akaun Facebook terbabit di Taman Desa Jaya, Ulu Tiram di sini pada hari pertama Aidilfitri.

“Pemilik akaun Facebook ini sedang dikesan untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

— BERNAMA