Hishammuddin Hussein.

KUALA LUMPUR – ‘Kekurangan kemahuan politik’ tidak lagi boleh jadikan alasan membiarkan kekejaman Israel berterusan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, pertumpahan darah yang dilakukan ke atas rakyat Palestin perlu dihentikan, kekebalan Israel yang terus melakukan kekejaman juga perlu ditamatkan.

Israel selaku pelaku jenayah terburuk ini mesti dipertanggungjawabkan.

“Tanpa kita sedar, kita dalam keadaan amat memalukan kerana seakan-akan menggalakkan Kuasa Penakluk disebabkan kegagalan kita bertindak. Malaysia berdiri di atas pentas hari ini untuk turut sama menyuarakan pendirian tegas kepada semua bagi menggesa supaya tindakan segera diambil bagi menyelamatkan keadaan di sana,” katanya pada sidang video tergempar peringkat menteri luar Jawatankuasa Eksekutif OIC, hari ini.

Teks ucapan Hishammuddin juga menyenaraikan enam cadangan kepada OIC dalam menangani penderitaan rakyat Palestin diedarkan kepada media selepas mesyuarat itu.

Katanya, ketika Malaysia dengan tegas dan secara terbuka menuntut Israel menghentikan keganasan dan serangan ke atas Palestin, masyarakat antarabangsa tidak boleh terus memilih untuk berdiam diri dan tidak menghiraukan kezaliman yang dilakukan Israel.

“Adalah satu penghinaan apabila negara lain bersuara dan bercakap mengenai hak Israel untuk mempertahankan diri dan pada masa sama tiada sebarang suara yang memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri ketika mereka disembelih atau dijajah lebih 50 tahun,” katanya.

Malaysia, kata Hishammuddin sentiasa dan secara konsisten mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera Israel ke atas orang awam Palestin dan mereka yang beribadat di Masjidil Aqsa, semua bentuk pengusiran penduduk Palestin dari rumah mereka serta serangan udara berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak minggu lalu, katanya.

Kezaliman, kekejaman, serangan yang berlebih-lebihan dan melampau Israel ini jelas mencabuli semua undang-undang antarabangsa, malah pelakuan ini melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta fasal jenayah perang dalam Konvensyen Geneva Keempat 1949.

Hishammuddin berkata, keamanan dirantau itu tidak akan dapat dicapai tanpa kewujudan sebuah negara Palestin merdeka, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. Ini adalah penyelesaian tunggal terhadap konflik Israel-Palestin.

“Oleh itu, saya yakin dan percaya bahawa OIC mesti terus memainkan peranan penting untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi melindungi Palestin daripada pelakuan kejam Israel,” ujarnya.- MalaysiaGazette