KUALA LUMPUR – Gara-gara marah kerana tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat, seorang lelaki penghantar barang naik angin dan menendang pagar besi sebuah masjid di Selayang baru-baru ini.

Kejadian berlaku pada Jumaat lalu iaitu pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kedua.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada bilal masjid yang memaklumkan pagar besi tercabut akibat perbuatan lelaki itu.

“Semakan lanjut polis pada kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil dari masjid berkenaan mendapati seorang lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara dipercayai milik bapanya dalam keadaan seperti mengamuk dan menendang pagar besi masjid sehingga tercabut dan jatuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekatan Jalan Raya 9 (SJR) Plaza Tol Gombak petang tadi.

Berikutan insiden itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah dari IPD Gombak telah membuat tangkapan dan menahan suspek yang berusia 35 tahun itu ketika dia tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam.

Tambah Arifai, hasil penahanan suspek itu turut membawa kepada rampasan sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara dan sepasang baju Melayu yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian.

Menurut Arifai, siasatan lanjut polis juga mendapati kejadian berpunca akibat suspek berasa marah dan kecewa kerana tidak diberi kebenaran untuk masuk ke dalam masjid bagi menunaikan solat Jumaat oleh pihak pengurusan premis agama itu.

“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah manakala semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod berkaitan kesalahan lampau jenayah dan dadah,” katanya.

Suspek kini telah direman selama empat hari bermula hari ini hingga 19 Mei ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 427/295 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan membencana atau mencemarkan tempat sembahyang.-MalaysiaGazette