Pasar Awam Jalan Jelutong ditutup serta-merta hari ini susulan peniaganya disahkan positif Covid-19.

GEORGE TOWN – Pasar awam Jalan Jelutong, di sini ditutup hari ini susulan empat peniaga pasar itu disahkan positif Covid-19.

Penutupan serta-merta itu dilakukan pada jam 1 tengah hari tadi, bagi membolehkan kerja sanitasi dilakukan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Yew Tung Seang berkata, penutupan berkenaan membabitkan 60 peniaga di dalam kawasan pasar berkenaan.

Yew Tung Seang (kanan) mengadakan sidang media secara online hari ini.

Katanya, penutupan itu turut membabitkan sebanyak 186 gerai tapak penjaja sementara di Jalan Penaga dan Lorong Ipoh pada waktu pagi manakala 32 penjaja statik sementara di Lorong Penaga, Lorong Ipoh dan Lorong Batu.

”Pembukaan semula pasar awam itu akan dimaklumkan kelak selepas kawasan itu dipastikan selamat.

Pegawai kesihatan melekatkan notis penutupan Pasar Awam Jalan Jelutong hari ini.

“Orang ramai diminta mengambil perhatian terhadap penutupan itu dan sentiasa berhati-hati dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya pada sidang media secara online hari ini.

Mengulas lanjut, Tung Seang berkata, persatuan pasar juga diminta memantau kemasukan individu berisiko tinggi atau ‘high risk’ menerusi aplikasi MySejahtera daripada masuk ke dalam kawasan pasar awam.

“Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk penutupan premis sekiranya tiada pematuhan SOP Covid-19 di lokasi dikenal pasti,” ujar Tung Seang. – MalaysiaGazette