KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) bimbang pertemuan ahli keluarga di kompleks dan pusat beli belah berikutan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak membenarkan ziarah rumah ke rumah pada Hari Raya Aidilfitri boleh mencetuskan kes positif Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, langkah mengetatkan SOP larangan rentas negeri, daerah, selain tidak membenarkan orang ramai berkunjung ke rumah sanak saudara telah dilaksanakan dari 12 Mei hingga 7 Jun ini.
“Dalam PKP 3.0 ini, SOP lebih ketat dikuatkuasakan, antaranya tidak boleh rentas negeri dan daerah, termasuk dilarang sama sekali menziarahi ibu bapa atau ahli keluarga.
“Tetapi, isu ketara yang membimbangkan kita ialah apabila berlaku pertemuan ahli keluarga di kompleks dan pusat beli belah.
“Perbuatan seperti ini boleh mencetuskan krisis kes positif Covid-19 sekiranya berlaku tanpa kawalan di kompleks dan pusat beli belah di seluruh negara,” katanya pada sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melalui aplikasi Zoom, hari ini.
Mengenai usaha dilakukan KKM dan kerajaan dalam menangani kes positif yang semakin meningkat, Dr. Adham berkata, usaha dilakukan dengan meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan rawatan di semua hospital.
Ujar beliau, pihaknya juga memastikan hospital swasta dan hospital universiti turut terlibat, selain kerajaan bercadang membina hospital medan di Kapit, Sarawak, Kelantan dan Pulau Pinang, iaitu negeri yang dikategorikan merah.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan dengan kemunculan kluster di rumah ibadat seperi surau dan masjid serta lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
Bagaimanapun, katanya, usaha berterusan akan dilakukan KKM bagi memastikan dapat membendung dan menyekat penularan kes positif. – MalaysiaGazette
















