KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 menggesa Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengambil langkah yang diperlukan untuk meningkatkan kadar ujian saringan Covid-19 dan program vaksinasi.
Ini berikutan keadaan yang semakin membimbangkan di negara ini dan bagi memastikan pelan hala tuju keluar telah dirancang untuk selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Semenanjung dan PKP Bersyarat (PKPB) di Sabah dan Sarawak.
Menurut Pengerusi Bersama Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19, Dr. Dzulkefly Ahmad, berdasarkan statistik dikeluarkan, terdapat penurunan mendadak dalam ujian saringan di seluruh negara pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, statistik itu daripada 87,458 sehari sebelumnya turun kepada 83,974 orang yang disaring pada 13 Mei lalu dan penurunan selanjutnya kepada 56,440 orang pada 14 Mei serta 47,480 pada 15 Mei lalu.
Beliau berkata, kadar positif pada hari raya pertama adalah 5.78 peratus dan meningkat pada hari raya kedua kepada 7.32 peratus serta 8.72 peratus pada hari raya ketiga yang telah melepasi batas cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu pada kadar 5 peratus.
“Secara purata, kadar positif Malaysia dari 10 hingga 15 Mei adalah 6.83 peratus yang masih lebih tinggi daripada cadangan WHO.
“Kadar ini jelas menunjukkan kita tidak melakukan ujian saringan yang mencukupi, yang juga menyiratkan jumlah harian mungkin tidak jelas menggambarkan beban penyakit sebenar di negara ini,” katanya.
Kata Dr. Dzulkefly, kecenderungan seperti itu bukan perkara baru dan diperhatikan sejak beberapa minggu kebelakangan ini serta saringan yang tidak mencukupi telah menyebabkan lonjakan kes koronavirus kronik di seluruh negara.
Pada masa sama, ujarnya, unit rawatan intensif (ICU) Covid-19 berkapasiti penuh atau hampir di seluruh Lembah Klang, Kelantan, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang serta menyumbang kepada jumlah kematian yang tinggi sejak beberapa hari lalu.
“Hanya dengan meningkatkan kadar saringan dan pengesahan kontak rapat secara ketara, barulah kita akan mengenal pasti berapa orang yang berjangkit dan dapat menyebarkan virus di luar sana dan kemudian mengambil langkah tertentu untuk mengasingkan mereka dalam usaha mencegah risiko menyebarkannya lebih jauh.
“Pelaksanaan ini penting terutama dengan 89 peratus kes Covid-19 yang dilaporkan 9 April hingga 8 Mei lalu adalah sporadic dan hampir sembilan daripada 10 kes bulan lalu tidak berkaitan.
“Ini bermaksud virus itu ada di mana-mana sahaja dalam komuniti dan satu-satunya cara untuk mengesannya adalah dari saringan secara besar-besaran, pengesanan kontak cepat dan pengasingan kemudian memberikan sokongan yang diperlukan,” ujarnya.
Di samping itu, kata beliau, ujian saringan secara besar-besaran membolehkan individu dijangkiti Covid-19 didiagnosis lebih awal, diasingkan dan dirawat lebih awal untuk mencegah kes serta kematian yang serius.
Katanya, semakin lambat melakukan ujian saringan dan mengeluarkan status positif, semakin tinggi kemungkinan mereka yang dibawa masuk menghadapi simptom dan komplikasi yang lebih teruk sehingga meningkatkan risiko kematian. – MalaysiaGazette
















