KUALA LUMPUR – Seramai 569 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 466 individu dikenakan kompaun, manakala 103 lagi direman.
Katanya, antara kesalahan direkodkan ialah 127 kes gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, 103 kes tidak memakai pelitup muka, 65 kes tiada penjarakan fizikal dan 274 lain-lain kesalahan.
Menurutnya, kesalahan itu direkodkan oleh Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis menerusi 64,829 pemeriksaan yang dilakukan semalam.
Operasi itu, katanya, bagi memastikan orang ramai memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mengenai Operasi Benteng, kata Ismail Sabri, pihak berkuasa telah mengesan sebanyak 117 bot atau kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan semalam.
“Op Benteng ini melibatkan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain yang turut melakukan 481 Sekatan Jalan Raya (SJR).
Mengenai saringan wajib pekerja warga asing, beliau menjelaskan, seramai 50 warga asing telah menjalani ujian saringan dan tiada yang positif Covid-19.
“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 694,534 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 35,934 majikan.
“Daripada jumlah itu, seramai 10,280 orang telah disahkan positif, manakala 684,254 lagi negatif.
“Sehingga kini, sebanyak 1,544 klinik telah terlibat dengan program saringan ini yang diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu,” katanya. – MalaysiaGazette
















