Naib Ketua Armada Sabah Rafie Robert

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dimita menyelesaikan kemelut politik secara baik melalui perbincangan secara terus oleh kedua-dua Presidennya.

Naib Ketua Armada Sabah, Rafie Robert berkata, kestabilan politik merupakan perkara penting pada waktu ini bagi memudahkan para pemimpin kerajaan menjalankan tugas.

Ia akan membolehkan semua wakil rakyat terus fokus dalam melaksanakan tugasan masing-masing, khususnya membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan akibat pandemik Covid19 ini.

“Rakyat ketika ini diseru mengikuti Prosedur Operasi Standard pencegahan pandemik Covid-19 sehingga ramai yang sangat terkesan, ini adalah masanya untuk kita melaksanakan tugas kepada mereka sebagai tanda penghargaan kerana mereka telah hadir mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu walaupun pada ketika itu pandemik Covid-19 masih melanda.

“Sudah pasti ketidakstabilan politik yang berlaku ketika ini akan memberi kemudaratan yang amat besar kepada rakyat, kerana jika kerajaan berubah ini menyebabkan akan berlaku perubahan dasar-dasar kerajaan dan lebih buruk lagi jika rakyat dituntut sekali lagi untuk mengundi ketika pandemik Covid-19 ini melanda.

“Sudah pasti persengketaan politik yang timbul pada masa sukar ini menunjukkan keputusan yang tidak baik kerana ianya akan menjadi sumber penilaian oleh para pengundi yang akan memberi kesan negatif kepada parti politik masing-masing pada masa akan datang,”katanya menerusi kenyataan.

Baru-baru ini dilaporkan, PBS dan STAR yang merupakan rakan sekutu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Parlimen Keningau dikatakan bakal berebut kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili yang menyatakan hasrat ingin mempertahankan kerusi tradisi di Parlimen Keningau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan mengundang rasa tidak senang hati dalam kalangan pemimpin STAR.

Berikutan itu Setiausaha Agung STAR, Datuk Guandee Kohoi berkata, adalah tidak adil untuk partinya menyerahkan kerusi yang menjadi kubu kuat di kawasan pedalaman Sabah itu.

Menurut Rafie, isu yang timbul antara PBS dan STAR sebaiknya diselesaikan secara dalaman dengan aman dan tidak perlu didedahkan kepada umum bagi mengelakkan penyokong masing-masing turut bersengketa.

Ujarnya, keputusan untuk bekerjasama dengan pihak lawan juga tidak akan memberi kebaikan parti tertentu, sebaliknya akan memberi kesan negatif daripada rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada pemimpin dan parti yang mereka pilih untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu. – MalaysiaGazette