Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuji tindakan rakyat menerusi Tentera Bawang Malaysia ‘menyerang’ keganasan rejim zionis ke atas umat Islam Palestin menerusi media sosial.

Beliau berkata, serangan dengan pelbagai tagline antaranya #IsraHell Koyak, #Israhell The Real Terrorist dan sebagainya itu sebagai menunjukkan sokongan warga Malaysia terhadap rakyat Palestin.

Katanya, episod serangan rejim zionis ke atas umat Islam Palestin baru-baru ini amat menyedihkan dengan angka korban dan syahid meningkat, kecederaan penduduknya bertambah dan kerosakan terus berleluasa.

“Saya melihat rentetan kejadian ini, sokongan rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin tidak berbelah bahagi. Sekalung pujian buat netizen Malaysia yang dikenali sebagai Tentera Bawang Malaysia.

“Saya memantau perkembangan media sosial dan menyaksikan pelbagai kritikan diberikan netizen di laman sosial Israel Defence Force. Saya beranggapan ini tindakan terpuji dan baik.

“Diharapkan tindakan ini akan memberi tekanan moral kepada penjajah Israel. Sokongan seperti ini sebagaimana dilakukan sahabat di zaman Rasulullah SAW,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat Malaysia amat prihatin, selain bantuan wang ringgit, sumbangan dana, keperluan asas dan makanan yang disalurkan menerusi NGO, sokongan di laman sosial juga hebat.

Jelas beliau, usaha itu mengambil pendekatan analogi seekor burung yang cuba memadam api membakar Nabi Ibrahim A.S.

“Kita akui tidak mampu berjuang di bumi Gaza dan Palestin, tetapi usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu saudara seagama di sana. Kita akui kita turut berdepan kekangan dan halangan tertentu dan kita juga mengharapkan sokongan dan sumbangan seumpama ini akan menjadi asbab untuk menjawab di hadapan Allah suatu hari kelak.

“Saya kagum dengan peranan rakyat Malaysia. Sokongan ini besar usahanya walaupun terdapat segelintir yang mempertikaikan usaha berkenaan. Bagi mereka ia tidak memberikan kesar besar setakat di media sosial. Jangan pandang remeh. Ia juga boleh dianggap perang media dan psikologi yang boleh menjatuhkan semangat rejim Zionis.

“Apa yang dilakukan sebagai tanda sayang ke atas saudara seagama. Sayangi Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis, Semenanjung Gaza dan Palestin terutamanya. Tanah itu tempat lahirnya para Nabi dan Anbiya’,” ujarnya yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette