Peserta Sekretariat Solidariti Rakyat mengaminkan bacaan doa berbuka puasa pada Himpunan #BukaPuasaBukaParlimen Enam Tuntutan Kepada Kerajaan Perikatan Nasional di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai sembilan individu yang menyertai himpunan ‘Buka Puasa Buka Parlimen’ pada 30 April lalu dipanggil polis bagi tujuan siasatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua individu terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Ya memang kita ada hubungi mereka untuk bantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.

Pagi tadi Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Abdul Hadi menerusi satu ciapan di laman Twitter miliknya menyatakan beliau telah dihubungi oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berkaitan himpunan berkenaan.

Ciapan di laman Twitter Amir Abdul Hadi menyatakan beliau dihubungi polis untuk tujuan siasatan

Menurut Amir, beliau dimaklumkan seramai sembilan orang akan dipanggil oleh pihak polis bagi tujuan siasatan selain turut menyatakan gesaan supaya Parlimen Malaysia kembali dibuka dan bukan menjalankan siasatan terhadap rakyat.

Pada 1 Mei lalu, media melaporkan penganjur himpunan ‘Buka Puasa Buka Parlimen’ yang berlangsung di hadapan bangunan Parlimen akan dipanggil polis untuk diambil keterangan.

Mohamad Zainal berkata, mereka berhimpunan tanpa sebarang kebenaran atau notis pemberitahuan kepada polis dan kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 9(5) APA 2012 (Perhimpunan Tanpa Notis). – MalaysiaGazette