Masjid tempat beribadah

KUALA LUMPUR – Dewan Solat Utama dan Dewan Solat Wanita Masjid Putra, Putrajaya akan ditutup selama 11 bulan mulai 30 Mei ini bagi kerja membaikpulih dan menaiktaraf kubah utama masjid itu.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zakaria Othman berkata, penutupan itu sehingga 16 April 2022 berikutan kerja membaikpulih oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Bagaimanapun, katanya, aktiviti solat fardu berjemaah dan solat Jumaat masih diteruskan di Sahn Kanan Dewan Solat Utama dengan kapasiti bilangan jemaah tertakluk kepada SOP semasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pihak Jakim memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh semua pihak dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Katanya, maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh berhubung dengan pihak pentadbiran Masjid Putra di talian 03-8888 5678. – MalaysiaGazette