Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Polis telah mengambil keterangan dari seorang pelakon lelaki terkenal bersama ahli keluarganya yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamed Farouk Esha berkata, keterangan pelakon lelaki terbabit selaku tuan rumah dirakam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira pukul 10 pagi.

“Sehingga kini pihak polis Ampang Jaya telah merakam keterangan lima orang termasuk selebriti atau tuan rumah.

“Kesemua keterangan diambil di IPD Ampang Jaya. Kes masih dalam tindakan dan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan polis akan mengambil keterangan semua ahli keluarga pelakon lelaki terbabit susulan satu gambar keluarga selebriti itu yang tular di laman sosial dan portal.

Menurut Mohamed Farouk, gambar berkenaan menunjukkan sambutan hari raya bersama seisi keluarga yang disyaki tidak tinggal sebumbung di kediaman selebriti terbabit yang terletak di Hulu Klang, Ampang, Selangor.

Katanya, terdapat lebih kurang 13 individu disyaki satu keluarga yang dipaparkan dalam gambar berkenaan.

Baru-baru ini netizen mempersoalkan tindakan keluarga pelakon lelaki terbabit bersama-sama keluarga bekas isterinya yang juga seorang pelakon terkenal merakamkan gambar hari raya walaupun kerajaan telah mengeluarkan arahan tiada ziarah Aidilfitri dibenarkan ketika pelaksanaan PKP 3.0. – MalaysiaGazette