Chow Kon Yeow (kiri) menunjukkan surat KKM yang menolak permohonan kerajaan negeri menerima sumbangan vaksin Covid-19 pada sidang media di Komtar hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang mempertikai tindakan kerajaan Perikatan Nasional yang tidak memberi peluang kepada negeri itu untuk mendapatkan vaksin Covid-19 sendiri seperti dibenarkan kepada Selangor dan Sarawak.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, kebenaran untuk mendapatkan vaksin sendiri amat penting susulan sebuah syarikat swasta pernah menawarkan sumbangan dua juta vaksin jenis Sinovac kepada penduduk Pulau Pinang.

Chow Kon Yeow.

Jelas Kon Yeow, selepas menerima tawaran pada Februari lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri membuat permohonan rasmi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu pada 12 Mac lalu namun permohonan tersebut ditolak.

“Kita minta kebenaran untuk menerima vaksin itu kerana ia akan memberi manfaat kepada penduduk Pulau Pinang.

“Namun, KKM menolak permohonan itu dengan alasan Kerajaan Persekutuan telah merangka dan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan 80 peratus populasi penduduk akan menerima vaksin.

“Persoalan yang timbul sekarang, mengapa Kerajaan Persekutuan tidak memberikan peluang yang sama kepada kerajaan negeri lain untuk menerima secara terus atau membeli sendiri vaksin Covid-19 sama seperti dibenarkan kepada Selangor serta Sarawak,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Jelas beliau, pihaknya meminta KKM mempertimbangkan semula keputusan kerana syarikat berkenaan masih mahu menyumbangkan vaksin kepada rakyat Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri yakin, sekiranya diberikan kelulusan mendapatkan vaksin itu ia bukan saja memberi manfaat kepada penduduk sini malah vaksin yang sepatutnya diperuntukan Kerajaan Persekutuan boleh diagihkan kepada negeri lain,” ujar beliau.

Lim Guan Eng (kanan) bersama Chow Kon Yeow pada sidang media di Komtar hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuaan tidak membenarkan penerimaan vaksin itu sebagai satu perbuatan jenayah.

Beliau turut menggesa Kerajaan Pulau Pinang untuk tetap menerima sumbangan vaksin tersebut selain bersedia berdepan sebarang tindakan.

“Saya rasa kecewa dan marah atas tindakan Kerajaan Perikatan Nasional yang tidak membenarkan kerajaan negeri menerima sumbangan vaksin Covid-19 sedangkan banyak nyawa rakyat dapat diselamatkan dengan penerimaan vaksin tersebut.

“Sekarang ada yang mahu menderma kenapa tidak benarkan? Jika derma politik boleh, mengapa derma vaksin tidak boleh?,” kata Ahli Parlimen Bagan itu. – MalaysiaGazette