KUALA LUMPUR – Sekretariat Gabungan NGO untuk rakyat Palestin (Aid4Palestine) memberi jaminan semua sumbangan orang ramai menerusi NGO itu akan sampai 100 peratus kepada rakyat negara itu.
Jaminan itu diberikan Pengerusinya, Muhammad Khalil Abdul Hadi selepas ada pihak mendakwa semua bantuan dan sumbangan yang dikutip oleh beberapa NGO di negara ini tidak akan sampai ke golongan sasar di Palestin.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak perlu risau dengan sumbangan masing-masing kerana pihaknya tidak mengambil sebarang upah atau komisen bagi setiap jumlah yang terkumpul.
“Saya memberi jaminan, setiap sumbangan rakyat Malaysia kepada umat Islam di Palestin akan diserahkan 100 peratus tanpa diambil sebarang komisen oleh NGO di bawah naungan Aid4Palestine.
“Bagi mengelakkan syak wasangka yang boleh dimanipulasi oleh sesetengah pihak, satu jawatankuasa audit oleh akauntan bertauliah telah dilantik bagi memastikan ketelusan penyampaian sumbangan itu sampai kepada objektifnya.
“Sehingga kini lebih 100 NGO yang bersetuju bersolidariti dengan Palestin melalui Aid4Palestine,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Aid4Palestine ditubuhkan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mendapat lampu hijau dari Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Muhammad Khalil, semua sumbangan itu akan diserahkan terus kepada NGO yang berwibawa dan dipercayai di Palestin.
Antaranya kata beliau, NGO Nadir An Nuri dan Cinta Gaza Malaysia yang dikenali ramai dan banyak membantu melakukan kerja amal di Palestin, selain mereka yang bermastautin di negara itu.
Katanya, sumbangan itu ditumpukan kepada tiga aspek utama iaitu untuk pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat Palestin. – MalaysiaGazette
















