Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Jumlah individu yang ditahan atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih melebihi 500 orang.

Semalam, kata Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri, seramai 514 individu ditahan pihak berkuasa dengan 503 dikenakan kompaun manakala 11 lagi direman.

Mengikut kesalahan yang direkodkan, katanya, tidak memakai pelitup muka seramai 147 individu diikuti gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (127), tiada penjarakan fizikal (62), membawa penumpang berlebihan (13) dan lain-lain (165).

Bagi Operasi Benteng pula, semalam seramai 41 pendatang asing tanpa izin telah ditangkap dengan dua kapal atau bot dirampas.

Beliau juga berkata, sebanyak 157 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan.

Sebanyak 462 Sekatan Jalan Raya (SJR) diadakan di seluruh negara semalam yang dikendalikan menerusi Op Penawar 409 SJR, Op Benteng 44 SJR dan Op Benteng Aksem sembilan SJR, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Sanitasi Awam, sebanyak 89 operasi dilakukan meliputi 40 zon merah, zon jingga (empat) dan zon kuning (lapan) di seluruh negara, semalam.

Operasi sanitasi itu melibatkan 491 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 174 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 110 jentera JBPM.

“Secara kumulatifnya, sebanyak 23,804 operasi sanitasi yang merangkumi 156 zon telah dilakukan sejak 30 Mac tahun lalu.

“Operasi ini melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan,” katanya.

Bagi barang keperluan asas, beliau berkata, pemantauan dan pemeriksaan oleh anggota Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.

Semalam, katanya, KPDNHEP telah membuat 670 pemantauan harian ke atas 10 jenis bekalan barangan terdiri daripada peringkat peruncit (483), pemborong (156) dan pengilang (31).

“KPDNHEP juga telah melakukan sebanyak 1,759 Pemeriksaan Khas Pematuhan SOP sepanjang PKP dan mendapati semua premis mematuhi SOP,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast