Antara motosikal yang berjaya dirampas polis JBS dalam kegiatan curi motosikal "Geng Dek Wan"

JOHOR BAHRU – Polis menahan 10 ahli geng kumpulan mencuri motosikal yang dikenali Geng Dek Wan dalam lapan serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, serbuan bermula pukul 3 pagi itu berjaya membawa tangkapan kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 39 tahun.

“Dalam serbuan tersebut, pihak polis telah berjaya menangkap lapan lelaki dan dua wanita ahli Geng Dek Wan dan merampas enam buah motosikal yang dilaporkan hilang.

“Pihak polis juga telah berjaya merampas peralatan mencuri motosikal serta dua buah enjin motosikal yang nombor casisnya telah diganggu.

“Modus operandi kumpulan ini mengunakan peralatan yang telah diubah suai. Motosikal yang dicuri dileraikan dan dijual dalam bentuk komponen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Padzli berkata, siasatan awal polis mendapati hasil serbuan berkenaan telah berjaya meyelesaikan tujuh kes curi motosikal di sekitar daerah ini.

Katanya, hasil ujian air kencing terhadap semua suspek mendapati enam daripadanya positif dadah dan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

Tambahnya, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah seksyen 379A Kanun Keseksaan laitu melakukan kesalahan mencuri kenderaan, ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes jenayah boleh menghubungi IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323. – Malaysiagazette