Gambar hiasan

HARGA  minyak sawit mentah menunjukkan tren menaik sejak beberapa bulan lalu. Rekod dagangan tertinggi bagi pasaran Hantaran Tempatan Minyak Sawit Mentah seperti yang dicatatkan oleh MPOB adalah sekitar RM 4,700 setan. Harga ini adalah yang tertinggi dalam sejarah bagi dagangan minyak sawit mentah. Kenaikan harga minyak sawit mentah disebabkan oleh beberapa faktor; antaranya kenaikan harga soya
dunia yang merupakan pengganti bagi minyak sawit, penawaran minyak sawit yang semakin berkurangan dalam pasaran disebabkan kurangnya pengeluaran sawit itu sendiri, permintaan tinggi terhadap minyak sawit oleh India dan Cina, dan dalam masa yang sama turut didorong oleh penguatkuasaan Mandat biodiesel di Malaysia dan Indonesia.

Kenaikan ini sudah dijangka sejak beberapa bulan sebelum ini  berdasarkan kepada pergerakan harga dan trend kenaikan harga yang ditunjukkan. Sebahagian penganalisis menjangkakan trend kenaikan ini akan berterusan akibat daripada peningkatan permintaan bagi produk pengguna yang memerlukan penggunaan minyak sawit. Jika kenaikan harga minyak sawit ini berterusan, penganalisis menjangkakan ia mampu mencecah harga sekitar RM5,000 satu tan.

Jika ini berlaku, ia mengesahkan ramalan sebahagian pelabur dan penganalisis ekonomi
tentang apa yang dikenali sebagai Kitaran Super Komoditi (Commodity Supercycle), iaitu
keadaan di mana harga komoditi, antaranya termasuk minyak sawit akan mengalami kenaikan yang mendadak dalam tempoh beberapa bulan dan mencapai harga tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sekiranya ini berlaku, pengguna dijangka akan terbeban apabila kos pengeluaran akibat
daripada kenaikan bahan mentah ini dipindahkan kepada pengguna mengakibatkan mereka terpaksa membayar harga yang lebih tinggi. Dalam keadaan ini, inflasi tidak dapat dielakkan sepertimana yang dijangka oleh penganalisis berikutan tren kenaikan harga bahan mentah. Namun demikian, dari satu sudut positif, kenaikan harga komoditi memberi manfaat terutamanya kepada pengeluar/pengusaha komoditi.

Kenaikan harga besi umpamanya, yang merekodkan harga tertinggi pada AS$5700 dan juga kenaikan harga bijih besi kepada USD217 (tertinggi sepanjang sejarah), menarik minat pelabur untuk melabur di dalam syarikat-syarikat pengeluar produk besi di Malaysia. Tinjauan kepada syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia menunjukkan syarikat-syarikat pengeluar yang berasaskan produk besi telah mengalami kenaikan nilai sekurang-kurangnya sekali ganda berbanding lima bulan lepas. Ini secara langsung menunjukkan minat yang tinggi pelabur kepada syarikat-syarikat tersebut. Mereka menjangkakan syarikat-syarikat ini mampu mencatatkan keuntungan lantaran kenaikan harga bahan mentah tersebut.

Berbalik kepada kenaikan harga minyak sawit mentah yang telah mencecah harga tertinggi dalam sejarahnya, ironi apabila ia tidak diikuti oleh peningkatan minat pelabur terhadap sektor perladangan, terutamanya pengusaha tanaman sawit! Mengapa ini berlaku? Kesan langsung daripada kenaikan harga minyak sawit yang paling ketara  dapat dilihat adalah kenaikan harga minyak masak yang siap diproses dan dijual di rak-rak pasar raya serta kedai-kedai runcit. Kesan awal daripada commodity supercycle ini telah mula dirasai oleh pengguna.

Berbanding kenaikan harga komoditi besi dan bijih besi, ia menarik minat pelabur
terhadap syarikat-syarikat pengeluar produk tersebut, bagi syarikat-syarikat kelapa sawit
sebaliknya berlaku. ESG dan Perladangan sawit Kelembapan kepada minat pelabur terhadap syarikat-syarikat perladangan ini boleh dilihat daripada pergerakan indeks perladangan Bursa Malaysia yang pada hari ni tidak mencatatkan perubahan berbanding setahun yang lalu.

Malahan lebih rendah berbanding ketika harga minya sawit mentah berada pada paras RM2,500 –  RM2,700 pada tahun 2019 (hampir separuh daripada harga minyak sawit mentah semasa). Dalam masa yang sama, pergerakan kenaikan harga minya sawit yang bermula pada akhir tahun 2020 tidak memberikan pergerakan nilai yang signifikan kepada majoriti syarikat-syarikat perladangan. FGV umpamanya yang sedang dikaitkan dengan proses eksais korporat menunjukkan tiada perubahan nilai bagi syarikat tersebut.

Adakah pelabur mengjangkakan tiada peningkatan keuntungan bagi syarikat-syarikat perladangan ini akibat daripada kenaikan harga minyak sawit mentah? Syarikat-syarikat gergasi seperti Sime Darby, FGV, IJM Plantation dan seumpanya dilihat kurang menarik dari segi nilai pada masa hadapan, walaupun keuntungan semasa mencatatkan
peningkatan. Terdapat beberap sebab mengapa nilai modal pasaran syarikat-syarikat ini tidak menunjukkan peningkatan.

Selain daripada aspek fundamental syarikat-syarikat tersebut, faktor penting yang kurang
menarik pelabur kepada syarikat-syarikat ini adalah isu berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan
Tadbir Urus (environmental, social and governance (ESG)) dan kekurangan tenaga buruh
dalam sektor perladangan. Apa itu ESG? Pelaburan sektor perladangan tempatan dikaitkan dengan praktis yang tidak mesra alam sekitar. Sektor ini berhadapan dengan kesan negatif terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Isu-isu yang dikaitkan dengan sektor perladangan sawit seperti penebangan hutan dan
pemusnahan tanah, pencemaran karbon di udara akibat pembakaran daripada proses tanam semula, ditambah pula oleh pengurusan tenaga buruh yang sangat teruk menyebabkan sektor ini tidak menarik minat pelabur antarabangsa yang mula menitikberatkan aspek ESG dalam pelaburan mereka.

Sebagai contoh, dua syarikat pengeluar Minyak Sawit Malaysia iaitu – FGV Holdings Bhd dan Sime Darby Plantation telah disekat oleh US Customs and Border Protection (CBP) pada tahun lalu. Walaupun Malaysia telah memperkenalkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mewajibkan ladang-ladang sawit diurus mengikut standard kemampanan (sustainability) dari sudut alam sekitar, sosial dan tadbir urus, minat pelabur terhadap sektor perladangan ini masih kurang memberangsangkan.

Laporan TheEdge menyebut pelabur antarabangsa sangat menitikberatkan nilai yang sangat tinggi terhadap amalan pengurusan ladang yang lestari. Isu ESG ini, jika tidak ditangani dengan baik, akan menyebabkan kos pengeluaran minyak sawit meningkat yang secara tidak langsung membebankan pengguna apabila pengeluar
memindahkan kos tersebut kepada harga akhir produk dan dalam masa yang sama, syarikat-syarikat pengeluar minyak sawit tempatan dipandang sepi oleh pelabur-pelabur antarabangsa.

Kemasukan aliran tunai pelaburan asing dalam negara sangat penting bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi negara apatah lagi negara dalam kemelut untuk bangkit daripada krisis pandemik yang merencatkan sebahagian besar sektor-sektor penting ekonomi negara. Tindakan dan polisi yang bijak serta menguntungkan semua pihak, dalam masa yang sama tidak membebankan pengguna perlu di ambil oleh pihak berwajib bagi memastikan sumber utama komoditi negara ini terus memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat keseluruhannya.

Prof Madya Dr Dr. Mohd Fauzi Abu @ Hussin
Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam
Universiti Teknologi Malaysia