KUALA LUMPUR – Semakan kehakiman tiga individu mencabar keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad melanjutkan lesen kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn. Bhd. selama enam bulan akan diputuskan pada 28 Julai ini.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini turut menetapkan tarikh sama untuk bekas Jemaah Menteri di bawah pentadbiran Mahathir iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penghujahan peguam-peguam yang mewakili pihak pemohon dan 31 responden.

Tiga pemohon yang mohon mencabar keputusan itu ialah Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas, Tan Bun Teet serta dua penduduk Kuantan, Pahang iaitu Ismail Abu Bakar serta G. Ponusamy. 

Selain Mahathir, Wan Azizah dan Bee Yin turut dinamakan sebagai responden ialah kerajaan Malaysia, Lembaga Tenaga Atom (AELB) dan Lynas.

Bagaimanapun ketika berhujah, responden memohon mahkamah menolak sahaja semakan kehakiman alasan permohonan itu kerana lesen operasi Lynas telah disambung untuk kali kelima.

Tempoh lesen itu telah dikuatkuasakan bagi tempoh tiga tahun bermula 3 Mac tahun lalu hingga 2 Mac 2023.

Pemohon juga berhujah Bee Yin sebenarnya telah terkhilaf kerana menurunkan kuasanya kepada Jemaah Menteri untuk mendengar rayuan Lynas berhubung pra-syarat yang dikenakan kepada syarikat itu ketika memperbaharui lesen.

Sebelum ini, pada 8 November 2019, tiga individu ini bertindak memfailkan permohonan memohon deklarasi untuk membatalkan keputusan Dr. Mahathir dan 27 menteri Kabinet yang membenarkan operasi Lynas dilanjutkan selama enam bulan lagi bermula 15 Ogos 2019.

Kumpulan itu turut memohon keputusan jemaah Menteri terbatal dan tidak sah kerana Bee Yin telah menyalahi undang-undang dengan memberi kuasa kepada jemaah Menteri membuat keputusan kolektif.

Ketiga-tiga pemohon diwakili oleh barisan peguam bela terdiri daripada Datuk Seri Gopal Sri Ram, Dinesh Athinarayanan dan Saha Deva manakala Tan Sri Cecil Abraham dan Datuk Sunil Abraham mewakili Lynas.

Manakala peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan, Ng Wee Li mewakili Mahathir dan 30 responden yang lain. -MalaysiaGazette