Tangku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan syarikat modal teroka Malaysia berjaya mengumpul dana sejumlah RM676 juta dan daripada jumlah dana tersebut sebanyak RM 372 juta atau 55% merupakan modal pelabur-pelabur asing, khususnya dari Hong Kong dan Korea Selatan.

Kesemua syarikat tersebut terlibat dalam Program Dana Penjana Nasional (DPN) yang dikenalikan oleh Penjana Kapital Sdn. Bhd. (Penjana Kapital).

DPN adalah program padanan fund-of-funds yang merupakan sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Kerajaan Malaysia akan memadankan sehingga RM600 juta, pada kadar padanan 1:1, dana yang dijana oleh pengurus dana modal teroka daripada pelabur swasta tempatan dan asing, dengan sasaran peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

Matlamat DPN adalah untuk merapatkan jurang pembiayaan syarikat pemula niaga dengan memberi insentif kepada pelabur swasta untuk memudahcara
pertumbuhan pemula niaga dan mewujudkan sebuah ekosistem yang menggalakkan syarikat pemula niaga tempatan berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa.

Pengumpulan dana sebanyak RM676 juta telah melebihi sasaran awal kutipan sebanyak RM448 juta ataupun hampir 200% daripada sasaran awal RM228 juta.

Daripada jumlah tersebut, lapan pengurus dana modal teroka akan memulakan pelaburan awal sebanyak RM110.15 juta dalam lapan syarikat pemula niaga.

”Tahniah kepada lapan pengurus dana modal teroka yang telah berjaya mengumpul RM676 juta untuk dilaburkan ke dalam syarikat pemula niaga di Malaysia.

”Saya juga mengalu-alukan kedatangan pelabur asing ke Malaysia, yang nyata mencerminkan keyakinan mereka terhadap prospek pertumbuhan Malaysia dan industri syarikat pemula niaga,” kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Menurut beliau, dana ini penting untuk memacu ekosistem syarikat pemula niaga dan menggalakkan inovasi terutamanya dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Kelapan-lapan syarikat pemula niaga yang bakal menerima pelaburan awal ini mempunyai rangkaian perniagaan sekurang-kurangnya di dua negara ASEAN.

Manakala lima syarikat berkenaan adalah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia, tiga lagi adalah syarikat asing yang telah memberikan komitmen untuk menubuhkan operasi di Malaysia dan telahpun menjalin usahasama dengan syarikat korporat tempatan.

Selain daripada komitmen untuk mencapai sasaran kadar pulangan dalaman (IRR) antara 15% – 30%, kesemua pengurus dana modal teroka tersebut turut memberi komitmen mewujudkan hampir 1,400 pekerjaan berkemahiran tinggi dari pelaburan awal mereka. – MalaysiaGazette