KUALA LUMPUR – Sebanyak 39 cawangan MIC di Taiping dan 10 cawangan Larut di Perak menyatakan sokongan jawatan Presiden parti tidak ditandingi.

Cawangan terbabit mahu penyandangnya, Tan Sri SA Vigneswaran terus menerajui parti itu untuk penggal 2021 hingga 2024.

Kordinator MIC Bahagian Larut, Veeran Muniandy berkata, parti itu memerlukan perubahan ketika menjadi pembangkang pada 2018 dan Vigneswaran hadir membawa perubahan dalam kalangan akar umbi serta pemimpin.

“Sokongan yang satu masa dulu sedikit malap kembali bersinar apabila beliau menerajui MIC, itupun ketika kita bukan kerajaan lagi dengan meneruskan matlamat asal iaitu perjuangan buat masyarakat India.

“Selama tiga tahun ini beliau sentiasa memberi ingatan bagaimana MIC merupakan wadah politik serba boleh dan mampu mengharungi apa jua rintangan atau perjalanan sukar kerana mempunyai pengalaman lebih 76 tahun,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi MIC Bahagian Taiping kepada MalaysiaGazette.

Semalam MIC mengumumkan pemilihan jawatan Presiden mungkin ditangguhkan kepada  12 Jun ini daripada 5 Jun berikuta penamatan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 7 Jun.

Setiausaha Agung MIC, Datuk M. Asojan berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada colan yang akan bertanding menentang Presiden pada 26 Mei ini.

“Sekiranya hanya ada satu calon, maka presiden baharu akan diumumkan pada 5 Jun. Bagaimanapun, jika terdapat lebih daripada seorang, maka pemilihan akan diadakan pada 12 Jun selepas PKP,” kata Asojan.

Tempoh jawatan Presiden akan tamat pada 14 Julai ini. Sebelum ini Vigneswaran yang memegang jawatan Naib Presiden menang tanpa tanding dengan menerima sokongan daripada 3,616 cawangan MIC di seluruh negara yang terdiri daripada 4,300 cawangan pada 2018.

Dalam pada itu, Veeran yang Ahli Majlis Tertinggi Pusat (CWC) memberitahu, pihaknya sebulat suara menyokong Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan mengekalkan jawatannya itu.

Jelas Veeran, akar umbi dan pemimpin parti mengharapkan kombinasi Presiden dan Timbalan Presiden terus menerajui MIC pada penggal seterusnya. – MalaysiaGazette

MIC Segambut sokong Vigneswaran menang tanpa bertanding jawatan Presiden

MIC dijangka tangguh pemilihan presiden – Asojan