Pemilihan bagi jawatan Presiden MIC mungkin ditangguhkan hingga 12 Jun daripada tarikh 5 Jun yang ditetapkan sebelum ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadualkan berakhir pada 7 Jun.

KUALA LUMPUR – Pemilihan bagi jawatan Presiden MIC mungkin ditangguhkan hingga 12 Jun daripada tarikh 5 Jun yang ditetapkan sebelum ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadualkan berakhir pada 7 Jun.

Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan berkata, bagaimanapun perkara itu bergantung kepada hasil hari penamaan calon pada 26 Mei di ibu pejabat parti sama ada akan terdapat pertandingan untuk jawatan tertinggi tersebut.

“Sekiranya hanya ada satu calon, maka presiden baharu akan diumumkan pada 5 Jun. Bagaimanapun, jika terdapat lebih daripada seorang, maka pemilihan akan diadakan pada 12 Jun selepas PKP,” katanya kepada Bernama pada Selasa.


Tempoh jawatan presiden semasanya iaitu Tan Sri S A Vigneswaran akan tamat pada 14 Julai.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pemilihan bagi jawatan tertinggi lain MIC akan diadakan selepas pemilihan presiden parti bergantung kepada situasi negara.

Asojan, yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Presiden MIC, memberi jaminan bahawa proses penamaan calon akan dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Setakat ini, beliau berkata, jawatankuasa itu telah menyerahkan kertas pencalonan kepada semua ketua cawangan yang kemudian akan memanjangkannya kepada ketua bahagian sebelum diedarkan kepada pengerusi negeri yang akan membawanya ke ibu pejabat MIC pada 26 Mei.

“Kami hanya ada 13 negeri, jadi hanya 13 pengerusi negeri yang akan hadir pada hari penamaan calon jika terdapat calon lain. Tidak ramai yang akan hadir pada hari penamaan calon,” katanya.

Menyentuh isu serupa, Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula belum memutuskan sama ada akan menangguhkan kongres kebangsaan parti itu yang dijadualkan berlangsung di Selangor pada awal bulan depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Bernama bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Pada 3 Mei lepas, Saifuddin dilaporkan berkata bahawa Kongres Kebangsaan ke-15 PKR akan diadakan pada 5 dan 6 Jun di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor dalam bentuk hibrid bagi mematuhi SOP Covid-19. -MalaysiaGazette