Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan penangguhan itu selepas mengadakan perbincangan secara dalam talian bersama wakil dari Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.- Gambar Facebook Football Association of Malaysia.

KUALA LUMPUR – Saingan Piala Presiden, Piala Belia, Liga M3 dan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) bagi tahun ini terpaksa ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan penangguhan itu selepas mengadakan perbincangan secara dalam talian bersama wakil dari Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

FAM dalam satu kenyataan menjelaskan MSN yang diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail sudah menerima dan meneliti kertas kerja berkaitan garis panduan pengelolaan perlawanan dan peraturan khas Covid-19 bagi empat pertandingan berkenaan yang diserahkan badan induk itu menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam.

“Lanjutan daripada pelaksanaan PKP di seluruh negara dari 12 Mei lalu hingga 7 Jun depan dan situasi semasa penularan pandemik COVID-19, pertandingan terbabit yang dijadualkan bermula antara awal hingga pertengahan Jun perlu ditangguhkan terlebih dahulu.

“Tarikh sepak mula yang baharu hanya akan diputuskan pada perbincangan atau mesyuarat yang akan datang iaitu pada 7 Jun 2021.

“Semua pihak termasuk FAM adalah disaran untuk mematuhi SOP (prosedur operasi standard) sektor sukan dan rekreasi yang terkini,” kata FAM dalam kenyataan itu, malam tadi. – MalaysiaGazette