Seorang lelaki berusia 30-an terjatuh dari tingkat 10 ke 'rooftop' tingkat 4 di Viva Home, Jalan Loke Yew

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah selepas terjatuh dari tingkat 10 ke ‘rooftop’ tingkat 4 di Viva Home, Jalan Loke Yew di sini petang tadi.

Pegawai Bomba Kanan, Komander Operasi, Mohd Azam Alip berkata, pihaknya menerima panggil kecemasan berhubung insiden itu sekitar jam 3.02 petang.

Sejurus menerima panggilan, pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS dengan kekuatan lapan orang anggota telah dikerah ke lokasi.

“Setibanya di lokasi kejadian, pihak Bomba menemui seorang lelaki berumur lingkungan 30-an telah jatuh dari tingkat 10 ke rooftop di tingkat 4.

“Mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.45 petang. – MalaysiaGazette