Jaguh tenis dunia Federer yang masih belum pulih sepenuhnya dari pembedahan lutut kalah mengejut dalam pusingan pertama Terbuka Geneva semalam.

GENEVA – Jaguh tenis dunia, Roger Federer nampaknya masih dihalangi masalah kecederaan selepas secara mengejut tersingkir dalam pusingan pertama Tenis Terbuka Geneva di Switzerland semalam.

Pemain berusia 39 tahun itu menyertai jelajah ATP di Geneva kali ini selepas dua tahun menjalani rawatan pembedahan.

Bagaimanapun dia terpaksa akur dengan prestasinya semasa menentang pemain Sepanyol, Pablo Andujar dan tewas 4-6, 6-4, 4-6.

Federer juara Grand Slam sebanyak 20 kali mendahului Pablo di set ketiga dengan 4-2 sebelum Pablo bangkit mengejutkan Federer.

“Saya menjangkakan aksi lebih baik dalam gelanggang tadi kerana semasa sesi latihan saya beraksi cemerlang. Sedih dan tak menjangka pusingan pertama perlu berakhir dengan keputusan seperti ini,” keluhnya.

Ia merupakan perlawanan kedua Federer selepas kali terakhir beraksi pada Januari 2020 selepas pembedahan kedua-dua lututnya.

Juara lapan kali Wimbledon itu mensasarkan kejuaraan Grand Slam All England Club pada 28 Jun ini.- MalaysiaGazette