Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan bacaan qunut nazilah dilaksanakan dalam setiap solat sunat fardhu.

Menurut titah tuanku, bacaan qunut nazilah dibacakan secara berterusan mulai 20 Mei 2021 di semua masjid di negeri ini bagi menolak segala bala dan wabak penyakit.

Titah itu berikutan penularan wabak Covid-19 di Negeri Pahang dan seluruh negara semakin meningkat ketika ini.

Selain itu, baginda turut bertitah agar melaksanakan solat hajat, bacaan Yaasin tahli dan zikir serta doa khas di semua masjid dan surau  di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) selepas solat fardhu Magrib setiap malam Jumaat bermula 20 Mei.

Bagaimanapun penggunaan masjid tertakluk kepada tatacara dan Prosedur Operasi Standard Khas yang ditetapkan untuk aktiviti pengimarahan masjid dan surau di Pahang bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi solat Jumaat, pintu pagar dibuka 30 minit sebelum solat dan ditutup setelah jemaah hadir serta ditutup selepas 15 minit selesai solat Jumaat.

Manakala bagi solat fardhu pintu pagar dibuka sebelum 10 minit dan ditutup setelah jemaah hadir serta dikunci selepas 15 minit selesai solat.

Jemaah musafir pula tidak dibenarkan solat di mana-mana bahagian bangunan, lantai masjid dan surau sebaliknya perlu disediakan satu tempat khas seperti khemah atau sebagainya. – MalaysiaGazette