PKPD di beberapa mukim di Terengganu dan Perak serta kampung di Kelantan, Sabah dan Sarawak.

KUALA LUMPUR – Perkembangan terkini Covid-19 masih dalam keadaan tidak menentu, malah semalam, mencatatkan jumlah kes harian tertinggi sejak pandemik itu menular di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, trend kes positif harian yang masih tinggi berbanding kes sembuh memberikan cabaran kepada kesihatan pasukan barisan hadapan dalam merawat pesakit Covid-19.

Katanya, kebanyakan petugas barisan hadapan berada dalam keletihan kerana setiap hari  berhadapan ribuan pesakit baharu dan pada masa sama perlu memastikan tahap keselamatan rakyat di negara ini terjamin.

Jelas beliau, dalam mesyuarat harian hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 19 mukim di Besut, Terengganu dan Perak akan diletakkan dalam pengawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai 22 Mei hingga 4 Jun ini.

Ismail Sabri Yaakob

Dalam pada itu, kata beliau lagi, KKM juga turut melaporkan sembilan kampung masing-masing di Kelantan, Sabah dan Sarawak turut dilaksanakan PKPD pada tarikh 22 Mei hingga 4 Jun 2021.

Mukim yang terbabit dengan pelaksanaan kawalan lebih ketat ialah 15 Mukim di Besut iaitu Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut.

Manakala empat mukim di Perak pula ialah daerah Hulu Perak dalam Mukim Pengkalan Hulu; daerah Larut, Matang dan Selama (Mukim Taiping); daerah Kinta (Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan); dan daerah Muallim (Mukim Hulu Bernam Timur).

“KKM mengesahkan sembilan daripada 17 kluster aktif di Terengganu melibatkan daerah Besut yang telah menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti.

“Begitu di Perak, KKM telah melaporkan peningkatan kes secara mendadak di empat empat mukim ini dengan 2,035 kes bagi tempoh 14 hari dari 5 Mei sehingga 18 Mei lalu berbanding 928 kes dari 12 April sehingga 4 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Kata Ismail Sabri, bagi sembilan kampung yang dikenakan PKPD ialah Rumah Banjir Kuala Teh, Jerantut, Pahang; Kampung Terusan, Mukim Limbat, Pasir Tumboh, Kota Bharu dan Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat di Kelantan; Kampung Idani, Semporna; Kampung Pisang, Tawau; Kampung Getah, Kampung Getah Tengah Taman Kunak Jaya, Kunak, di Sabah; manakala Sarawak di Kampung Boyan, Kuching.

Menurut beliau, di Rumah Banjir Kuala Teh, Jerantut, KKM merekodkan lapan kes positif daripada 22 hasil ujian saringan bergejala dengan kadar positiviti 36.36 peratus, manakala Kampung Terusan, Mukim Limbat, Pasir Tumboh pula 48 kes positif daripada 154 ujian saringan.

Di Kampung Idani, Semporna, sembilan kes positif dicatatkan, diikuti Kampung Pisang, Tawau (tujuh), Kampung Getah, Kampung Getah Tengah & Taman Kunak Jaya, Kunak (12 kes), Kampung Boyan, Kuching (34 kes) dan Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang sebanyak 22 kes iaitu Teluk Renjuna (11 kes), Pantai Hj Nik Mat (enam), Pulau Beluru (empat) dan Pantai Suri (satu).

Katanya, pelaksanaan PKPD akan memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan lanjut dalam kawasan terlibat serta keluar dari kawasan tersebut.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan pelanjutan PKPD di tujuh di Sempalit, Raub, Pahang iaitu Kampung Baru Sempalit, Taman Sempalit Aman, Taman Emas Baru, Taman Sempalit Indah, Taman Sempalit Jaya, Taman Sempalit Baru dan Taman Emas.

Sebanyak 16 lokaliti di Sungai Ruan, Raub, Pahang juga dilanjutkan iaitu Taman Dahlia, Taman Cempaka, Taman Mawar, Taman Melor, Taman KSM Sungai Ruan, Taman Bunga Matahari, Taman Mawar Impian, Taman Orkid, Taman Bunga Raya, Taman Koperasi Mewah, Taman Bunga Tanjung, Rumah Murah Sungai Ruan, Taman Sungai Ruan, Taman Melewar, Taman Bunga Angsana dan Kampung Baru Sungai Ruan.

Turut dilanjutkan PKPD dari 22 Mei ini ialah SMU Pantai Manis, Papar, Sabah sehingga 3 Jun ini.

Namun begitu, PKPD Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor akan ditamatkan mulai tengah malam ini. – MalaysiaGazette