Amirudin Shari

SHAH ALAM – Selepas Program Saringan Komuniti di Gombak mendapat sambutan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merancang untuk memperluaskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bercakap kepada pemberita semalam, beliau berkata, sehingga kini program itu telah diadakan di DUN Sungai Tua dan Gombak Setia sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Katanya, tumpuan program itu di kawasan ‘hotspot’ jangkitan Covid-19 yang dikesan dan direkodkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri serrta menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Namun, ujar beliau, apabila dilaksanakan program itu di DUN, maklum balas yang diterima amat menggalakkan, malah kehadiran orang ramai untuk melakukan saringan lebih ramai.

“Seperti di Gombak Setia semalam, saya dimaklumkan lebih 2,000 hadir untuk menjalani ujian saringan,” katanya.

Amirudin berkata, penglibatan orang ramai itu juga membuktikan usaha kerajaan negeri bersama rakyat untuk mengekang penularan pandemik mendapat kerjasama.

Menurutnya, kerajaan Selangor telah menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei lalu hingga 10 Jun ini.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 itu, kata Amirudin, memberi manfaat kepada rakyat yang berisiko di negeri itu, selain pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast