Dadah, peralatan membungkus serta bahan kimia yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis kedai di Taman Bukit Minyak, Pulau Pinang pada Rabu lalu.

BUKIT MERTAJAM – Tangkapan seorang lelaki terlibat dalam satu kes culik membawa kepada penemuan makmal pembungkusan dadah di Taman Bukit Minyak, Bukit Tengah di sini pada Rabu lalu.

Kejayaan itu dibongkar sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang selepas menahan seorang lelaki berusia 21 tahun di Jalan Bertam, Kepala Batas pada jam 6 petang.

Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah premis kedai dua tingkat yang membawa kepada penemuan sejumlah dadah jenis syabu dan heroin berjumlah RM3.5 juta.

Polis serbu premis kedai dua tingkat yang dijadikan tempat membungkus dadah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, hasil serbuan pihak polis menemui sepucuk pistol jenis Beretta bersama 15 butir peluru.

“Pemeriksaan lanjut di premis itu, kita menemui 97,140 gram (g) dadah jenis syabu, 190 gram heroin, pelbagai cecair kimia serta mesin dan peralatan membungkus dadah.

“Secara keseluruhan dadah syabu dan heroin yang dirampas itu bernilai RM3.5 juta dan ia boleh dibekalkan kepada 486,000 penagih,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebahagian dadah dan peralatan untuk membungkusnya yang dirampas polis.

Tambah Sahabudin, hasil siasatan mendapati suspek aktif dalam kegiatan haram itu sejak awal Januari lalu.

“Selain itu, suspek juga ditahan bagi membantu siasatan melarikan orang di Butterworth pada 1 Mei lalu,” ujarnya.

Polis turut merampas sepucuk pistol serta 15 butir peluru dalam serbuan tersebut.

Bagi kes larikan orang kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan manakala untuk tangkapan dan rampasan dadah kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette