Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa dunia menumpukan perhatian kepada bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula untuk rakyat Palestin susulan gencatan senjata Israel-Hamas pada lewat Khamis.

Mesir bertindak sebagai orang tengah untuk perjanjian genjatan senjata itu.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi Twitternya pada Jumaat berkata:

“Sekarang kita perlu tumpukan kepada bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula untuk rakyat Palestin”.

Kabinet Keselamatan Israel pada Khamis bersetuju menghentikan serangan di Semenanjung Gaza yang dikepung dan menerima perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.

Seramai 232 rakyat Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 10 Mei lalu.

“Serangan Israel telah menyebabkan ratusan orang terkorban dan ribuan lagi cedera.

“Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada semua mangsa,” tambah Hishammuddin. – BERNAMA