Ketua Polis Selangor, YDH DCP Dato' Arjunaidi Mohamed bercakap pada sidang media. Foto SHAFIY ZUL, 09 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Suspek dikehendaki dalam kes ugutan jenayah yang mati di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam mengalami sesak nafas bukan ditahan untuk dipenjarakan.

Sebenarnya suspek, Sivabalan Subramaniam berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu memberi kerjasama dengan polis ke IPD Gombak untuk proses dokumentasi bagi menyelesaikan waran tangkap serta proses dibebaskan dengan jaminan polis.

Ia dilakukan bagi membolehkannya hadir ke mahkamah pada hari lain.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, semasa menjalani proses itu di IPD Gombak, dia telah mengadu sesak nafas.

“Dia (Sivabalan) menerima waran tangkap oleh mahkamah sebelum ini dan polis berjaya mengesannya apabila dia pergi ke sebuah kilang di Selayang tempat suspek bekerja sebelum dia memberi kerjasama baik dan bersetuju ke balai untuk dokumentasi dan proses seterusnya.

“Semasa dalam perjalan bersama anggota polis ke IPD Gombak dia tidak digari kerana memberi kerjasama tapi cuma selepas sampai jam 11.40 pagi dia mengadu mengalami sesak nafas.

“Polis tanpa membuang masa segera berhubung Hospital Selayang dan ambulans bersama pasukan perubatan bergegas ke IPD tak lama kemudian dan segera memeriksa Sivabalan yang masih hidup dan mengalami kesukaran bernafas,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Kata Arjunaidi, pasukan paramedik telah cuba sedaya upaya memberikan rawatan malangnya Sivabalan disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Mayat Sivabalan dibawa ke Hospital Selayang untuk siasatan lanjut dan proses bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematiannya.

“Semalam laporan mengatakan dia dibawa untuk proses siasatan, tapi sebenarnya siasatan ke atas si mati sudah selesai lama dulu cuma kegagalannya tampil ke mahkamah menyebabkan waran tangkap dikeluarkan dan tiada keperluan untuk siasatan.

“Dalam masa sama juga hasil pertanyaan kita kepada pihak keluarga Sivabalan dapati si mati ada mempunyai sejarah penyakit sesak nafas dan sakit jantung.

“Bagaimanapun siasatan akan diteruskan dan diserahkan kepada pihak berwajib atau sepatutnya memberikan laporan seterusnya iaitu hospital untuk mengesahkan punca kematian.

“Laporan bedah siasat sudah dijalankan antara 9.30 pagi hingga 1.30 tengahari tadi oleh Pakar Perunding Kanan Forensik Hospital Kuala Lumpur di Institut Perubatan Forensik Negara HKL. Punca kematiannya simati mengalami arcute myocardial infarction iaitu serangan jantung dan pemeriksaan pada tubuh badan juga dengan disaksikan ahli keluarga simati menunjukkan tiada kecederaan fizikal dan diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Kertas siasatan apabila selesai nanti akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya dengan cadangan agar satu prosiding inkues berkaitan kematian ini dijalankan di mahkamah pada kemudian nanti,” tegasnya.-MalaysiaGazette