Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO menzahirkan kebimbangan dengan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid berharap, kerajaan mengambil tindakan drastik dalam menentang wabak itu bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat terpelihara.

Kata beliau, UMNO dari awal lagi konsisten agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat perlu dilaksanakan bagi membendung peningkatan kes jangkitan Covid-19.

“Namun, sayangnya kerajaan tidak mengendahkan suara UMNO,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengemukakan lapan cadangan kepada kerajaan dalam mengawal dan mengekang penularan wabak Covid-19.

Cadangan pertama, katanya, pelaksanaan PKP penuh minimum 21 hari seperti di Hong Kong, Vietnam dan Singapura.

“PKP yang dilaksanakan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri ini masih membenarkan sektor ekonomi beroperasi, sedangkan fakta menunjukkan lambakan kluster jangkitan Covid-19 ini berpunca daripada perkilangan, tapak pembinaan dan pusat membeli-belah.

“Kerajaan seharusnya melaksanakan PKP yang ketat dengan menutup semua sektor ekonomi dan sosial selama 21 hari. Kalau PKP yang sekadar hangat tahi ayam ini tidak akan membantu mengurangkan kes jangkitan Covid-19,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, cadangan kedua ialah moratorium pukal, iaitu kerajaan harus mewajibkan sektor perbankan melaksanakannya dalam tempoh tiga hingga enam bulan tanpa syarat.

Ujar beliau, sepanjang PKP 1.0 dan PKP 2.0, sektor perbankan masih mampu menjana keuntungan, maka kerajaan seharusnya tegas memastikan kebajikan rakyat terbela dengan memberikan moratorium tanpa syarat.

“Cadangan ketiga, tambahan bantuan prihatin rakyat disegerakan dengan memfokuskan kepada B40, M40 dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Kerajaan PN harus pertimbangkan untuk meneruskan i-lestari dan I-Sinar, sementara bantuan one-off diberikan kepada sektor terjejas teruk seperti pelancongan dan IKS,” katanya.

Bagi cadangan keempat, kerajaan berjanji memperuntukan 150,000 komputer riba kepada pelajar dari 500 sekolah sebagaimana dibentangkan dalam Bajet 2021.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sehingga kini pelajar belum menerima komputer riba berkenaan dan UMNO mendesak kerajaan segera melaksanakan dengan pemberian terus kepada pelajar, bukan sebagai pinjaman.

Malah, ujar beliau, pemberian komputer riba harus meliputi semua pelajar peringkat rendah dan menengah, bukan bertumpu kepada 150,000 pelajar sahaja dan persekolahan boleh diteruskan secara maya, sekali gus mengurangkan beban ibu bapa.

Untuk cadangan kelima, beliau mahu kerajaan perhebatkan program imunisasi kebangsaan, walaupun pada fasa pertama kerajaan berjaya mencapai sasaran imunisasi dengan 895,204 penerima satu dos suntikan vaksin.

Tetapi, jelas beliau, Malaysia dilihat jauh kebelakang dalam mencapai sasarannya melibatkan fasa kedua dan ketiga yang melibatkan hampir 23 juta rakyat.

Seterusnya, beliau juga mencadangkan skim bakul makanan ditambah baik kaedah penyampaiannya, selain Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dijadikan pusat sehenti bagi bantuan rakyat yang memerlukan.

Ahmad Zahid juga mencadangkan kerajaan menambah hospital medan dan Pusat Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) di seluruh negara.

Malah, katanya, aset kerajaan seperti Kem Wawasan Negara, pusat latihan dan akademi juga harus ditukar fungsi menjadi PKRC dalam usaha mengurangkan beban hospital kerajaan dan swasta ketika ini.

“PKP 3.0 ini seharusnya tegas meliputi semua sektor. Pendek kata, biar rakyat derita seketika, tetapi hasilnya merangkumi kesejahteraan kesihatan negara.

“Menjadi tanggungjawab mutlak kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat sewaktu PKP 3.0 ini. Rakyat selamat, sejahtera negara,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.