Bakal jemaah Haji,Mohamad Ardani Senawi bersama isteri Rokiah Tokimon antara jemaah haji yang telah menerima vaksin dos pertama pagi tadi

JOHOR BAHRU- Kira – kira 600 bakal jemaah haji di negeri ini menerima vaksin dos pertama di Dewan Muafakat Bandar Dato Onn, Johor Bahru, sejak awal pagi tadi.

Kesemua mereka menerima vaksin Pfizer-BioTech selaras dengan pengiktirafan ditetapkan kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah–jemaah haji.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati Dewan Muafakat Bandar Dato Onn mula dipenuhi bakal jemaah haji yang telah menunggu seawal pukul 7 pagi bagi mendapatkan vaksin berkenaan.

Pengambilan vaksin dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan, selain mendapati had kemasukan di dalam dewan antara 200 hingga 300 penerima dalam satu-satu masa.

Sementara itu, salah seorang menerima vaksin, Mohamad Ardani Senawi berkata, beliau bersama isteri Rokiah Tokimon, masing-masing berusia 58 tahun, hadir ke dewan berkenaan kira-kira jam 7 pagi lagi bagi mendapatkan giliran awal.

Jelasnya, walaupun kediaman mereka hanya mengambil masa kurang daripada 20 minit, kedua-dua pasangan berkenaan mengambil pendekatan datang awal untuk mengelakkan kesesakan.

“Saya bersama orang rumah awal pagi sudah keluar rumah, sebab kami rasa lebih mudah datang awal tak perlu terlalu lama menunggu.

“Alhamdulilallah, dalam pukul 7 kami beratur, dalam pukul 9 macam itu semua sudah selesai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ardani menyifatkan pemberian vaksin kepada bakal jemaahhHaji memudahkan mereka untuk membuat persediaan awal.

Bakal jemaah haji di Johor telah mula menunggu gilira seawal jam 7 pagi lagi

Selain itu ia memberi keyakinan kepada bakal jemaah untuk melakukan ibadah dengan rasa selamat dan yakin, ujarnya.

“Syukur hari ini dapat dos pertama kerana jika diikutkan dalam 14 hari kita akan dapat vaksin kedua.

“Jadi ini semua mudahkan kami dan apa yang penting semua jemaah termasuk saya dapat melakukan ibadah dengan selamat ,pergi dan pulang juga selamat. Insyallah,” katanya.

Dalam pada itu, isterinya, Rokiah Tukimon yang melahirkan perasaan gembira kerana berpeluang menunaikan ibadah haji tahun ini berpendapat, orang ramai tidak perlu takut dengan suntikan vaksin Covid-19 memandangkan ia antara inisiatif kerajaan dalam mengurangkan penularan wabak berkenaan.

“Alhamdulillah walaupun makcik sudah berusia tetapi makcik nasihatkan semua orang jangan ada perasaan curiga terhadap suntikan ini.

“Perasaan takut memang ada, sakit pun sedikit tetapi untuk kebaikan kenapa tidak, Alhamdulillah berjalan lancar,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberitahu, jemaah Malaysia yang dipilih mengerjakan ibadah haji tahun ini akan diberikan vaksin Pfizer-BioTech dan AstraZaneca seperti yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi.- MalaysiaGazette