Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberikan keterangan kepada polis mengenai kenyataan beliau berkaitan kematian A. Ganapathy yang dilakukan melalui rakaman video.

Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu tiba di IPD Dang Wang pada jam 9.55 pagi.

“Saya dihubungi oleh polis dua hari lepas dan meminta tampil ke IPD pagi ini untuk memberi keterangan mengenai video berkaitan kematian A. Ganapathy yang saya komen.

“Saya akan memberi sepenuh kerjasama dan memberi keterangan kepada polis demi keadilan.

“Tanpa mengira agama, keluarga mana sekalipun Muda akan menuntut keadilan dan sentiasa berdoa untuk keluarga Ganapathy dan Sivabalan (meninggal dunia selepas ditahan polis),” katanya yang diiringi seorang peguam wanita sebelum memasuki IPD Dang Wangi hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, dia akan mengeluarkan satu kenyataan yang menjelaskan butiran lanjut mengenai proses rakam keterangan polis selepas ini.

“Saya akan dan sudah bersedia untuk memberi kerjasama baik kepada polis, nanti untuk memberi keterangan yang mereka perlukan daripada saya,” ujarnya.

Semalam beliau dalam ciapan twitter mengesahkan sedang disiasat oleh polis mengenai satu rakaman video yang dimuat naik mengenai kematian A Ganapathy ketika dalam tahanan polis.

“Mengapa saya disiasat polis kerana menuntut keadilan,” katanya dalam akaun Twitter.

Ganapathy 40, ditahan polis pada 24 Februari lalu dan meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April selepas sebulan menerima rawatan.

Keluarga Ganapathy mendakwa, mangsa dipukul ketika dalam tahanan dan menderita akibat kecederaan pada kaki, lengan dan bahu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ketika penjenayah² membuat jenayah hinggakan rakyat tidur tk lena, merompak membunuh, tk plak keluarga² penjenayah susah hati. Bila ditangkap dan diambil tindakan baru depa susah hati dgn nasib penjenayah yg ditahan.

Comments are closed.